AM

Parlimen : RUU Perkhidmatan Parlimen, Pindaan Perlembagaan Persekutuan Akan Dibentang

22/02/2025 10:58 AM

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Jemaah menteri memutuskan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 dan RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2025 akan dibentang dan dibahas untuk diluluskan pada sidang Parlimen kali ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata jemaah menteri turut memutuskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, akan membuat bacaan pertama dan memperincikan kedua-dua RUU itu di Dewan Rakyat pada Isnin ini (24 Feb).

“Jemaah Menteri turut bersetuju dan mencadangkan agar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat bacaan kali kedua, yang dijangka pada 4 Mac 2025.

“Langkah ini bukti iltizam Kerajaan MADANI terhadap usaha melaksanakan agenda reformasi serta memperkukuh institusi-institusi demokrasi dalam negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fahmi berkata RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 merupakan langkah pertama dalam usaha mereformasi institusi dan penambahbaikan terhadap institusi demokrasi utama negara iaitu Parlimen.

Beliau berkata UU itu, bakal mewujudkan sebuah Majlis Parlimen yang akan dipengerusikan secara bersama oleh Yang Dipertua Dewan Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Fahmi berkata RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2025 pula akan dibawa bagi membolehkan Yang Dipertua Dewan Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, menganggotai Majlis Parlimen tersebut.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan