AM

Pengurusan Dana Awam, Kes Buli Antara Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

24/02/2025 09:16 AM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Pengurusan dana awam dan kejadian buli di Maktab Tentera Diraja antara isu yang akan dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) ingin tahu langkah kerajaan bagi memastikan setiap peruntukan dana awam yang diumumkan dalam belanjawan tidak diseleweng memandangkan Laporan Ketua Audit Negara masih menunjukkan kelemahan pengurusan kewangan di banyak agensi kerajaan.

Beliau bertanyakan perkara itu kepada Perdana Menteri pada sesi soal jawab lisan.

Pada sesi sama, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) meminta Menteri Pertahanan menyatakan langkah diambil untuk memberhentikan kejadian buli yang sudah membarah secara sistemik di Maktab Tentera Diraja.

Usai sesi itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dijadual membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 dan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 untuk bacaan kali pertama.

Jurucakap Kerajaan MADANI Fahmi Fadzil dalam kenyataan sebelum ini berkata RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 adalah langkah pertama dalam usaha mereformasi institusi dan penambahbaikan terhadap institusi demokrasi utama negara iaitu Parlimen.

Beliau berkata RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 pula akan dibawa bagi membolehkan Yang Dipertua Dewan Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat menganggotai Majlis Parlimen.

Mesyuarat Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan sesi penggulungan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja oleh beberapa kementerian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan