AM

PM Anwar Adakan Pertemuan Dengan Thaksin, Bincang Isu Kritikal Serantau

27/12/2024 04:09 PM

KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri Thailand Dr Thaksin Shinawatra semalam bagi membincangkan beberapa isu kritikal serantau, termasuk merintis usaha damai di Selatan Thailand, dan merungkai krisis di Myanmar.

Anwar berkata pertemuan dengan sahabat baiknya itu turut membabitkan perbincangan panjang lebar mengenai beberapa perkara penting, termasuk peranan Thaksin selaku penasihat tidak rasmi kepada Pengerusi ASEAN.

“Kepakaran dan jaringan perhubungan meluas yang dimilikinya di rantau ini, membolehkan beliau (Thaksin) memainkan peranan dan membuka peluang-peluang penting buat Malaysia dan ASEAN bagi berdepan cabaran-cabaran ini dengan penuh yakin dan berkesan," katanya dalam hantaran di laman Facebook. 

Perdana Menteri berkata mereka turut bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh hubungan persahabatan Malaysia-Thailand, selaras dengan visi dan persefahaman seperti mana dikongsikannya bersama Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra, baru-baru ini. 

"Kami berkongsi kepercayaan yang sama sejak puluhan tahun lalu, bahawa Malaysia dan Thailand berupaya mencipta pelbagai kejayaan bersama untuk kedua-dua negara dan rantau ini. Insya-Allah, saya dan Thaksin komited untuk merealisasikan hasrat ini," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan