AM

Pembinaan, Naik Taraf Jalan Ke Pelabuhan Klang Guna Bahan Turapan Lebih Kukuh - Nanta

11/11/2024 06:43 PM

KUALA LANGAT, 11 Nov (Bernama) -- Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi  mencadangkan supaya projek pembinaan dan naik taraf jalan Lingkaran Pulau Indah dan Pelabuhan Utara Klang menggunakan bahan turapan lebih kukuh atau berdaya tahan.

Beliau berkata penggunaan bahan turapan lebih berdaya tahan akan memastikan permukaan jalan menjadi lebih kukuh, mengambil kira kemudahan infrastruktur itu yang menjadi laluan utama kenderaan berat berulang-alik ke Pelabuhan Klang.

"Setakat ini ia masih dalam peringkat perancangan (kemajuan projek)...projek ini dah dikenal pasti dan disebut dalam pembentangan Belanjawan 2025, jadi peruntukan sudah ada untuk kita memulakan projek ini. 

"Kita tahu jalan di kawasan pelabuhan ini dilalui oleh kenderaan berat seperti lori kontena, trak yang berat muatannya. Jadi bila kita buat infrastruktur, kita kena pastikan ia adalah terbaik yang boleh menampung keperluan itu," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Tapak Latihan Kren Menara Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Tengah di sini hari ini. 

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan sebanyak RM107 juta diperuntuk bagi pembinaan serta menaik taraf jalan Lingkaran Pulau Indah dan Pelabuhan Utara Klang dalam memacu sektor logistik negara. 

Berhubung majlis itu, Nanta berkata seramai 600 individu termasuk mereka yang terlibat dalam bidang kren menara akan dilatih menerusi Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (TVET) menjelang hujung tahun ini. 

Beliau berkata program yang membabitkan kerjasama antara Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) itu mampu melahirkan tenaga mahir dalam industri pembinaan, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing. 

"Kerjasama ini adalah hasil memorandum persefahaman (MoU) antara MRCB dan CIDB yang telah ditandatangani lebih setahun lepas. 

"Kesungguhan MRCB sebagai pengiat industri dalam membantu TVET akan memberikan peluang kepada pelatih meraih pendapatan lumayan sehingga lebih RM5,000 sebagai operator kren menara," katanya. 

Beliau pada masa sama turut menggalakkan pihak swasta tampil untuk kerjasama sinergistik bersama CIDB dalam usaha memperkasakan TVET bidang pembinaan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan