IPOH, 18 Nov (Bernama) -- Dapatan dan laporan lengkap isu waktu operasi Klinik Kesihatan Tanjung Malim di sini yang dipendekkan daripada 24 jam sehari kepada 8 pagi hingga 5 petang sehingga menimbulkan rungutan penduduk setempat, akan dimaklumkan kerajaan negeri dalam satu sidang media minggu depan.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak A. Sivanesan berkata perkara itu juga telah dibawa kepada perhatian Kementerian Kesihatan (KKM) awal bulan lepas.
"Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pun sedia maklum mengenai kebimbangan penduduk setempat, malah saya dimaklumkan ada pihak telah menghantar memorandum kepada KKM," katanya pada sidang media penganjuran sambutan Deepavali peringkat negeri di sini hari ini.
Baru-baru ini media melaporkan Klinik Kesihatan Tanjung Malim menghentikan operasi 24 jam bermula 1 Ogos lepas dengan alasan menyeragamkan operasi seperti klinik luar di bandar lain, dan ini menimbulkan rasa kurang senang penduduk setempat memandangkan mereka perlu ke Hospital Slim River yang terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar itu bagi mendapatkan rawatan kecemasan selepas 5 petang.
Sementara itu Sivanesan berkata orang ramai dijemput memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Deepavali Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia di sini Sabtu ini dengan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat menghadiri majlis berkenaan.
"Majlis yang dijadual bermula 3 petang itu diadakan bertujuan mengeratkan perpaduan antara kaum di negeri ini. Selain berpeluang menikmati pelbagai juadah tradisi, tetamu juga akan dihiburkan dengan persembahan kebudayaan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial