AM

JKN Perak Pantau Restoran Tular Cuci Peralatan Memasak Tepi Longkang - Exco

18/11/2024 08:25 PM

IPOH, 18 Nov (Bernama) -- Sebuah restoran nasi kandar yang tular menerusi video memaparkan pekerjanya membasuh peralatan memasak di atas jalan bersebelahan longkang belakang premis berkenaan akan dipantau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak selama sebulan. 

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak A. Sivanesan berkata pihaknya telah meminta JKN menjalankan pemantauan selepas kejadian itu tular menerusi media sosial baru-baru ini. 

"Maklumat yang kita terima (dalam hantaran laman Facebook) restoran berkenaan ditutup pada 12 tengah malam dan kerja pembersihan peralatan dilakukan selepas waktu tersebut, namun setakat ini kita tidak terima sebarang aduan rasmi daripada mana-mana pihak. 

"Apabila kita ke premis terbabit, tiada kejadian seperti yang didakwa tetapi kita tidak menolak kemungkinan ia berlaku, kita akan pantau," katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Beliau berkata pihak JKN Perak juga akan mengadakan perjumpaan dengan penghuni berhampiran premis berkenaan dan mengambil keterangan.

Sivanesan berkata dalam hantaran menerusi laman Facebook berkaitan kejadian itu, terdapat pihak yang mendakwa walaupun premis ditutup pada 12 tengah malam, namun kerja-kerja membersih premis dilakukan hingga lewat pagi dan menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk. 

Sebelum ini, tular video berdurasi 17 saat memaparkan seorang pekerja membasuh peralatan memasak di atas jalan di belakang sebuah premis.

"Kita lihat dua kejadian ini yang dibangkitkan dan kita memandang serius tentang perkara ini serta kita sama sekali tidak akan benarkan ia berlaku," katanya. 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata setakat Minggu Epidemiologi 45/2024, Perak mencatat jumlah kumulatif kes denggi sebanyak 6,311 kes berbanding 3,461 kes dalam tempoh sama tahun lepas, menyaksikan peningkatan sebanyak 2,850 kes iaitu 82.3 peratus.

"Minggu Epidemiologi 45/2024 sebanyak 98 kes denggi telah direkodkan berbanding 140 kes pada Minggu Epidemiologi yang sama tahun lepas. 

"Daerah Kinta mencatat 58 kes, Larut Matang dan Selama (lapan), Batang Padang dan Kampar masing-masing tujuh kes, Manjung (enam), Kerian (empat), Kuala Kangsar (tiga), Perak Tengah (satu) manakala Hulu Perak dan Muallim masing-masing dua kes," katanya. 

Sivanesan berkata jumlah kumulatif bagi kematian denggi pula adalah sebanyak 13 kes, berbanding satu kes untuk tempoh yang sama tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan