KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah kekal sebagai Pengerusi Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) bagi tempoh tiga tahun akan datang, bersama Dr S. Selva Jothi sebagai Timbalan Pengerusi.
Setiausaha Agung BSMM Hakim Hamzah berkata barisan kepimpinan itu adalah hasil keputusan Pemilihan Jawatankuasa Kebangsaan bagi penggal 2024-2027 yang diadakan di Dewan Perdana, Ibu Pejabat BSMM di sini hari ini.
Beliau berkata kepimpinan mereka yang teguh dan dedikasi tidak berbelah bahagi terhadap misi BSMM menjadi asas kepada usaha organisasi itu memberikan perkhidmatan kemanusian yang berkesan di seluruh negara.
“Majlis Kebangsaan yang baharu dipilih ini turut mengandungi empat naib pengerusi dan lapan ahli jawatankuasa, yang setiap seorang mempunyai kepakaran tersendiri bagi membantu kemajuan BSMM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naib Pengerusi yang baharu dipilih ialah Datuk Seri Suhaimi Yacob, Dr Seri Buana Zainudin, Prof Madya Dr Abdul Ali Raja Mohamed, dan Datuk Mohd Rashidi Mohd Nor manakala M. Palany dilantik sebagai Bendahari baharu bagi penggal 2024-2027.
Menurut kenyataan itu, pemilihan Jawatankuasa BSMM Peringkat Belia Kebangsaan turut diadakan pada 16 Nov lepas dengan Norsyarmimi Che Lah dipilih sebagai Pengerusi Majlis Belia Kebangsaan BSMM yang baharu bagi sesi 2024-2027, menggantikan Michelle Chew Shi Jie.
“Naib Pengerusi pula disandang Chong Cheng Yang manakala Elaine Tan Hwa Yoke dan Muhammad Ayisy Baharudin masing-masing dilantik sebagai Setiausaha dan Bendahari bagi penggal 2024-2027. Majlis Belia Kebangsaan juga memilih enam ahli jawatankuasa.
“Dengan barisan kepimpinan baharu ini, BSMM optimis untuk terus cemerlang dalam visi dan misi perkhidmatan kemanusiaannya serta mengangkat mesej kemanusiaan ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Organisasi itu turut melahirkan penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa Kebangsaan terdahulu yang telah memberikan sumbangan tidak ternilai dalam meletakkan asas kukuh bagi kejayaan dan perkembangan berterusan BSMM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial