AM

MCMC Di Fasa Akhir Teliti Pelaksanaan Saluran Notis Bencana Tanpa Perlu Lalui SMS - Fahmi

27/11/2024 04:44 PM

PUTRAJAYA, 27 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini dalam fasa akhir bagi meneliti pelaksanaan saluran notis bencana secara terus kepada penduduk tanpa perlu melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata saluran itu, yang berfungsi memberi amaran menerusi telefon bimbit kepada individu di lokasi tertentu, akan melalui koordinasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“MCMC dalam fasa akhir untuk meneliti beberapa pilihan dan akan ada koordinasi dengan pihak NADMA terutamanya (untuk pelaksanaan saluran notis bencana ini). 

“Ia akan jadi satu alat komunikasi tambahan dan boleh membantu kerana ia ada satu elemen iaitu geolokasi yang boleh dihantar kepada sekumpulan orang yang berada di satu lokasi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) di sini hari ini.

Beliau juga berharap notis bencana itu dapat dilaksanakan segera di Malaysia bagi manfaat masyarakat.

Monsun Timur Laut, atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh di Malaysia, dijangka bermula pada 5 Nov ini dan berterusan hingga Mac 2025. 

Mengulas mengenai ketetapan Johor supaya lelaki beragama Islam meninggalkan urusan perniagaan ketika solat Jumaat berlangsung, Fahmi berkata perkara itu terpulang kepada kerajaan negeri.  

“Saya rasa tidak menjadi isu... kita memantau dan kita harap ini akan dapat membantu terutama bagi negeri Johor," katanya.

Semalam, media melaporkan bahawa pelanggan dan pemilik premis lelaki beragama Islam terutama yang mengendalikan kedai makan di Johor, diwajibkan untuk meninggalkan urusan perniagaan atau menutup sementara premis mereka ketika solat Jumaat berlangsung.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata ia bagi membolehkan mereka menunaikan solat Jumaat di masjid berdekatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan