MELAKA, 28 Nov (Bernama) -- Permintaan pekerja daripada golongan Orang Diparol (ODP) dan Orang Bebas Berlesen (OBB) di negeri ini semakin meningkat susulan kemampuan dan disiplin tinggi yang ditunjukkan mereka dalam pekerjaan.
Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Melaka Nur Mohammad Bakhtir Mohamad Akhir berkata ia berdasarkan maklum balas 28 majikan yang menyertai program penempatan ODP dan OBB dalam syarikat dan perusahaan, menerusi kerjasama dengan Jabatan Penjara Melaka.
"Malah ada dalam kalangan majikan yang dahulunya hanya menggajikan seorang pekerja telah meminta tambahan pekerja lain kerana berpuas hati dengan prestasi kerja serta disiplin ditunjukkan oleh golongan itu.
"Pada tahun ini sahaja sebanyak 304 banduan telah diambil bekerja dalam pelbagai sektor seperti makanan dan minuman, perladangan serta perkilangan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Graduasi Heads Up 2024 di Wisma PERKESO di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan Pengarah Penjara Melaka Timbalan Komisioner Penjara Rosman Norman yang turut menyampaikan sijil kepada 100 peserta terdiri daripada ODP dan OBB.
Mengulas lanjut, Nur Mohammad Bakhtir berkata maklum balas majikan juga menunjukkan pekerja ODP dan OBB setia dengan majikan dan pekerjaan mereka justeru mengurangkan kadar pusing ganti pekerja.
Beliau berkata program sejak tiga tahun lepas itu dilihat sebagai satu kejayaan dalam membantu memulihkan golongan berkenaan untuk kembali diterima masyarakat.
Sementara itu, Rosman berkata ODP dan OBB terbabit telah menjalani separuh daripada hukuman di luar penjara dan intregrasi semula ke dalam masyarakat amat penting.
"Ini menunjukkan masyarakat sanggup menerima mereka kembali sebagai warga yang berguna dan masih produktif untuk menyumbang tenaga kepada masyarakat.
"PERKESO Melaka juga memainkan peranan penting dengan memberikan saranan kepada majikan yang menawarkan peluang pekerjaan kepada ODP dan OBB selain turut diberi panduan mengenai faedah perubatan serta tuntutan caruman pencarum," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial