AM

Jangan Abaikan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kebangsaan - Titah Sultan Pahang

03/12/2024 10:56 PM

KUANTAN, 3 Dis (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru semua rakyat supaya tidak mengabaikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kerana ia bukan sekadar alat komunikasi, tetapi lebih daripada itu.

Baginda bertitah bahasa Melayu ialah lambang identiti budaya dan kedaulatan negara serta merupakan medium utama yang dapat memperkenalkan keunikan warisan, adat resam dan tradisi masyarakat ini kepada seluruh dunia. 

“Pahang sebagai negeri yang kaya dengan sejarah, alam semula jadi dan budaya, telah mengambil langkah proaktif dengan menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu dan tulisan Jawi pada semua papan tanda premis perniagaan serta jalan raya bermula 2020 lagi. 

“Tindakan daripada titah saya ketika itu, ialah manifestasi komitmen kita untuk memastikan identiti kita terus terpelihara dan dikenali. Tulisan Jawi, sebagai sebahagian daripada warisan bangsa, turut memainkan peranan penting dalam menonjolkan keaslian negeri ini,” titah baginda. 

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berangkat ke Majlis Perasmian Masjid Baharu Kampung Rengai, Lipis, dekat sini hari ini. 

Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menyeru kepada semua rakyat di negeri ini terutamanya pengusaha premis perniagaan, penggiat industri pelancongan dan masyarakat awam untuk terus mematuhi serta mendukung peraturan berkenaan. 

Baginda bertitah bahasa Melayu dan tulisan Jawi perlulah dipastikan penggunaannya secara menyeluruh dan bukannya sekadar memenuhi syarat, tetapi sebagai tanda cinta dan hormat kepada warisan bangsa.

“Saya ingin mengingatkan, bahawa kita tidak perlu menjadi seperti ‘kaduk naik junjung’ terlalu teruja dengan bahasa dan budaya luar sehingga mengabaikan akar bangsa kita sendiri. Dalam usaha membangunkan negeri dan membuka pintu kepada pelancong dari serata dunia, kita tidak harus kehilangan jati diri. 

“Sebaliknya, kita mesti memastikan setiap yang melawati ke negeri Pahang, merasai keunikan budaya dan bahasa kita,” titah baginda. 

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan kepada penduduk di negeri ini agar sentiasa bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) berikutan hujan lebat ketika ini, mengundang cabaran dalam berhadapan sebarang kemungkinan berlakunya banjir, tanah runtuh dan angin kencang. 

Baginda bertitah persediaan awal menghadapi MTL amat penting dalam mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan harta benda, justeru, penduduk di negeri ini dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan amaran cuaca dan nasihat daripada pihak berkuasa. 

“Pastikan keluarga khususnya warga emas dan kanak-kanak sentiasa berada di tempat yang selamat. Dalam menghadapi ujian, seperti musim tengkujuh ini, saya mengajak kita semua untuk sentiasa bertawakal kepada Allah SWT di samping berusaha melindungi diri dan keluarga. 

“Semoga dengan kesabaran dan doa, Allah mempermudah segala urusan kita dan melindungi negeri Pahang Darul Makmur daripada segala musibah,” titah baginda. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan