AM

Terengganu Pulih Banjir Gelombang Pertama

06/12/2024 09:57 PM

KUALA TERENGGANU, 6 Dis (Bernama) -- Setelah 18 hari, Terengganu pulih daripada gelombang pertama banjir susulan Monsun Timur Laut kali ini, apabila pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Setiu, ditutup 9 malam ini, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Negeri di Pantai Timur Malaysia itu mula dilanda banjir pada petang 19 Nov, dengan Kemaman menjadi daerah pertama terkesan membabitkan 12 mangsa daripada dua keluarga di perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong.

Ia kemudiannya menular ke Setiu, Hulu Terengganu, Marang, serta Dungun dan memasuki hari kedua mangsa bertambah kepada 2,831 orang di 14 buah PPS di sebelah pagi, namun cuaca yang mulai baik menyaksikan bilangan mangsa berkurang di sebelah petang.

Pada hari ketiga dan keempat, hanya Kemaman dilaporkan terkesan banjir iaitu dengan 29 orang mangsa yang menghuni di sebuah PPS, namun cuaca yang kembali memburuk pada 22 Nov menyebabkan mangsa kembali bertambah apabila Marang, Setiu, Dungun dan Hulu Terengganu dilanda banjir berulang, selain Besut yang menjadi daerah terbaharu terjejas.

Episod banjir berterusan selama beberapa hari dan hujan lebat sejak awal pagi 27 Nov menyebabkan bilangan mangsa meningkat berganda sebelum angka berdaftar di PPS mula melebihi 10,000 orang pada tengah hari 28 Nov, iaitu seramai 10,228 mangsa daripada 3,022 keluarga di 150 PPS dengan Kuala Nerus juga turut ditimpa bencana itu menerusi laporan pada pukul 4 petang, hari sama.

Berselang hanya dua hari, Kuala Terengganu menggenapkan kesemua lapan daerah di negeri itu terjejas banjir kali ini dan bilangan mangsa memuncak kepada 43,581 orang pada awal pagi Ahad (1 Dis) melibatkan 11,757 keluarga di 306 PPS.

Keesokan harinya, bilangan mangsa mulai menurun apabila cuaca semakin baik dan Besut menjadi daerah pertama pulih pada Selasa, selepas beberapa hari merekodkan bilangan mangsa tertinggi, diikuti Kemaman pada Rabu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun, dan Kuala Terengganu pada semalam, manakala Kuala Nerus serta Setiu, hari ini.

Sepanjang tempoh banjir gelombang pertama ini, Terengganu telah merekodkan dua kes lemas yang disahkan polis sebagai korban berkait bencana berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan