AM

1,580 Jurulatih SST, AST Digerakkan Bantu Emosi, Akademik Pelajar Di PPS

05/12/2024 02:05 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) menggerakkan 1,580 jurulatih utama Smart Support Team (SST) dan Academic Support Team (AST) di pusat pemindahan sementara (PPS) bagi membantu pelajar yang terjejas akibat banjir dari aspek emosi dan akademik.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata SST terdiri daripada sukarelawan guru bimbingan dan kaunseling berpengalaman serta terlatih dalam menyokong emosi murid yang terkesan dengan situasi bencana manakala AST pula membantu murid meneruskan pembelajaran walaupun berada di PPS.

“Selepas pemindahan berlangsung, fasa kedua atau proses seterusnya yang berlaku ialah pembugaran emosi … kami gerakkan seluruh kaunselor, Unit Bimbingan dan Kaunseling, kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kaunselor sukarelawan KPM juga terlibat,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim-Bandar Baharu) berhubung langkah KPM menjaga emosi pelajar yang berada di PPS khususnya yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Fadhlina berkata sebanyak 110 kaunselor di Kelantan, 90 di Terengganu dan 110 di Kedah digerakkan bagi membantu memberikan sokongan khusus untuk pelajar yang akan menduduki SPM, sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung. 

Fadhlina berkata menerusi Op Payung, KPM mengambil tanggungjawab penuh dengan memastikan semua calon SPM yang terjejas banjir ditempatkan di asrama-asrama bagi memastikan keselesaan mereka dalam menghadapi peperiksaan selain bantuan lain, seperti alat tulis. 

Menjawab soalan asal Roslan berhubung bilangan pelajar terjejas akibat banjir, beliau berkata sebanyak 7,212 murid masih berada di PPS premis sekolah setakat 8 pagi tadi dengan Kelantan merekodkan jumlah tertinggi, iaitu 5,305 murid diikuti Terengganu (1,090), Kedah (767), Melaka (30), Johor (18) dan Perak (dua).

Beliau berkata setakat pagi ini, sebanyak 117 sekolah masih beroperasi sebagai PPS yang meliputi 93 sekolah rendah dan 24 sekolah menengah.

Fadhlina berkata sejak bermulanya Monsun Timur Laut pada 5 Nov lepas, sebanyak 23,957 murid ditempatkan di PPS dan 470 institusi pendidikan telah dioperasikan sebagai PPS melibatkan 392 sekolah rendah, 77 sekolah menengah dan sebuah kolej vokasional.

Beliau berkata tiga negeri yang mempunyai bilangan tertinggi murid terkesan dan ditempatkan di PPS dalam tempoh sama ialah Kelantan dengan 17,873 orang, Terengganu (3,893) dan Kedah (1,580).

“KPM memantau rapat situasi dan operasi pengurusan banjir yang melibatkan institusi pendidikan KPM dan sentiasa peka dan prihatin terhadap kebajikan dan keselamatan murid, guru dan warga sekolah serta aset di bawah kelolaan KPM,” katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan