AM

SKM Salur Lebih RM200,000 Bantuan Kepada Koperasi Terjejas Banjir

20/12/2024 05:56 PM

CHUKAI, 20 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah menyalurkan bantuan sebanyak RM232,500 kepada 38 koperasi terjejas banjir di seluruh negara setakat ini.

Pengerusinya Lt Jen (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata bantuan itu disalurkan melalui Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi (TBKK) dan Co-Operative Emergency Relief Fund (CERF).

Beliau berkata setakat ini pihaknya telah menerima permohonan daripada 53 koperasi bagi CERF dan 28 koperasi melibatkan TBKK. 

"Koperasi boleh memohon bantuan untuk kerosakan seperti premis, aset, projek atau aktiviti perniagaan yang terjejas.

"Semua permohonan termasuk dari Terengganu, Johor, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Perak telah diluluskan dan akan disalurkan secara berperingkat dengan nilai keseluruhan melebihi RM700,000," katanya selepas menyempurnakan majlis penyerahan dua bot penyelamat dan Program Tanggungjawab Sosial (CSR) Korporat Ahli Lembaga Pengarah SKM di Pejabat SKM Wilayah Terengganu Selatan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SKM Datuk Rusli Jaafar dan Timbalan Pengarah SKM Terengganu, Mohd Solehin Ramli @ Yusof.

Selain itu, Ahmad Norihan berkata SKM juga menyediakan peruntukan RM580,000 bagi membantu mangsa banjir di beberapa negeri menerusi Skuad Ihsan MADANI.

Beliau berkata dua bot penyelamat berserta enjin dan jaket keselamatan yang disumbangkan akan ditempatkan di Kemaman untuk membantu kerja menyelamat mangsa banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

"Kita juga telah mengagihkan sumbangan barangan makanan seperti beras dan minyak masak ke beberapa negeri termasuk Terengganu pada 14 Dis lepas. Ia adalah sebahagian CSR SKM untuk meringankan beban mangsa banjir," katanya.

Beliau berkata hingga 30 Jun lepas, sebanyak 16,009 koperasi telah mendaftar dengan SKM melibatkan 7.2 juta ahli.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan