AM

Berita-Berita Ringkas Dewan Negara: 5 Dis

05/12/2024 04:56 PM

KPM SALUR RM1.18 BILION BANTUAN PERSEKOLAHAN UMUM TAHUN INI - FADHLINA

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) telah menyalurkan sejumlah RM1.18 bilion Bantuan Persekolahan Umum kepada 10,360 sekolah dan institusi pendidikan di seluruh negara tahun ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM309.86 juta disalurkan kepada 4,329 sekolah yang terletak di kawasan luar bandar sebagai inisiatif dalam memastikan anak-anak di kawasan berkenaan tidak terpinggir.

“Bantuan Persekolahan Umum diberikan kepada sekolah bagi membiayai aktiviti, seperti pengajaran dan pembelajaran, sukan, kokurikulum, pembangunan sahsiah diri dan kebajikan murid selain pentadbiran sekolah serta asrama,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Fadhlina berkata demikian menjawab pertanyaan Senator Datuk Dr Azhar Ahmad mengenai jumlah peruntukan bantuan disalurkan kementerian kepada sekolah-sekolah khususnya sekolah di kawasan luar bandar.

-- BERNAMA

 

PENETAPAN SYARAT PROGRAM DESA LESTARI PASTIKAN KOPERASI TINGKAT PENDAPATAN PENDUDUK KAMPUNG

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Syarat yang ditetapkan bagi Program Desa Lestari bukan sahaja bertujuan meningkatkan pendapatan koperasi, tetapi juga akan memastikan koperasi berupaya meningkatkan pendapatan penduduk kampung melalui penyediaan peluang pekerjaan.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata antara syarat bagi pelaksanaan program Desa Lestari ialah sebuah kampung itu perlu mempunyai koperasi yang aktif dan memiliki pelan perniagaan yang mantap dengan peluang atau potensi besar untuk dibangunkan.

“Kita ada enam program termasuk pertanian, peruncitan, dan perniagaan yang mempunyai potensi untuk dibangunkan dan memberi pulangan. Berdasarkan rekod, antara program Desa Lestari yang berjaya ialah agropelancongan, contohnya di Kampung Pulau Tuba, Langkawi.

"Melalui program Desa Lestari juga mereka diberi geran sebanyak RM1 juta dan berdasarkan geran berkenaan, perniagaan atau program ekonomi itu dapat dijana dan ia memberi keuntungan serta pulangan kepada koperasi dan kampung terlibat," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Hussin Ismail yang ingin tahu sama ada kerajaan bersedia mempertimbangankan kelonggaran syarat program Desa Lestari.

Rubiah berkata lebih 150 kampung di seluruh negara telah terlibat dalam program yang dilaksanakan sejak 2013 itu yang merupakan inisiatif untuk memperkasakan ekonomi luar bandar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan