AM

KPKM Gesa Ceburi Industri Lembu Hibrid Bantu Tingkat SSR Daging

06/12/2024 03:07 PM

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menggesa pengusaha ternakan lembu menceburi industri lembu hibrid bagi mencapai sasaran 25 peratus Kadar Sara Diri (SSR) bagi daging menjelang 2030.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata kerjasama dengan pelbagai pihak berkenaan penting dalam usaha kementerian mengurangkan kebergantungan negara terhadap daging import.

Beliau berkata hal ini kerana SSR bagi daging hanya pada 16 peratus setakat ini malah pengeluaran daging lembu di negara ini adalah sekitar 30,000 tan metrik, tahun lepas.

“KPKM telah menetapkan sasaran menjelang 2030 untuk meningkatkan SSR daging dalam negara ini kepada 25 peratus dan perlu tingkatkan populasi lembu daripada 726,000 kepada 1.7 juta ekor lembu untuk mencapai sasaran itu.

“Cabaran agak besar. Kerajaan tidak boleh melakukannya sendirian dan memerlukan kerjasama pihak swasta, akademik khususnya pemain industri,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Seminar Potensi Industri Lembu Hibrid Pedaging Malaysia 2024, di Bangunan Parlimen hari ini yang turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

Arthur berkata setakat ini, penternakan lembu hibrid telah bermula di Kelantan, Pahang dan Terengganu manakala di Sabah dilaksanakan melalui syarikat kerajaan negeri iaitu Sawit Kinabalu.

Terdahulu dalam ucapannya, Arthur berkata KPKM melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) komited melaksanakan perancangan sistematik dan inisiatif bersasar bagi memastikan industri lembu hibrid berkembang serta dikomersialkan.

Antara inisiatif tersebut termasuklah membangunkan Projek Pembangunan Sumber Genetik Ternakan menggunakan peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan DVS telah melaksanakan perolehan dengan membawa masuk 22 ekor pejantan ke Malaysia bagi meningkatkan pengeluaran semen beku ternakan.

“DVS turut memfokuskan pembiakan lembu hibrid iaitu Projek Pengukuhan Pembiakbakaan melalui Teknologi Pembiakan Berbantu melibatkan pembangunan kepakaran modal insan dan peningkatan kemahiran juru permanian beradas yang merupakan skop utama dalam projek ini sekali gus dijangka dapat menarik minat golongan muda untuk menjadi jurusuntik permanian beradas yang bertauliah,” katanya.

Mengenai seminar bertemakan ‘Memperkasakan Industri Lembu Hibrid Pedaging’ itu, beliau berkata ia merupakan ruang terbaik untuk menarik minat dan meningkatkan lagi kesedaran mengenai potensi serta keperluan penternakan lembu hibrid yang mempunyai potensi sangat besar untuk dikomersialkan di negara ini.

Seminar yang dihadiri 200 peserta itu juga menjadi platform untuk menyumbang idea secara intensif dan inklusif bagi meningkatkan pemahaman tentang pengurusan ternakan moden yang lebih efisien serta berteknologi tinggi bagi membantu meningkatkan hasil penternakan secara mampan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan