KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Malaysian Relief Agency (MRA) menyasarkan jumlah sumbangan sebanyak RM3 juta, sama ada dalam bentuk tunai atau barangan, bagi membantu lebih ramai mangsa banjir mendapat manfaat.
Presiden MRA Dr. Mohd Daud Sulaiman, dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya telah mengagihkan sumbangan bernilai lebih RM370,000 kepada mangsa banjir di 15 lokaliti yang terjejas melibatkan enam negeri, iaitu Pahang, Kedah, Johor, Kelantan, Melaka dan Terengganu.
Beliau berkata sumbangan itu meliputi bantuan makanan, bantuan bukan makanan serta bantuan perkhidmatan.
“Setakat semalam (5 Dis), bantuan makanan yang disalurkan MRA merangkumi 2,444 pek makanan asas, 600 pek makanan bermasak serta 5,000 pek makanan sedia dimakan (RTE).
“Bagi bantuan bukan makanan, ia merangkumi 2,200 helai pakaian baharu, 40 unit kit bayi (lampin bayi, susu dan tisu basah), 2,400 pek kebersihan dan 600 lagi bantuan bukan makanan yang lain,” menurut kenyataan.
Dr Mohd Daud berkata seramai 153 sukarelawan Sahabat MRA digerakkan ke lokasi yang dikenal pasti berada di tahap serius dan amat memerlukan bantuan. Selain itu, MRA juga menyediakan perkhidmatan pencucian dan pembersihan di 40 rumah dan sebuah perpustakaan awam.
Beliau berkata MRA turut menzahirkan penghargaan kepada individu, korporat dan pihak yang menyumbang kepada Tabung Bantuan Banjir MRA 2024/2025.
“MRA menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyokong usaha murni ini melalui sumbangan dan solidariti bagi meringankan beban mangsa banjir,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang kepada Tabung Bantuan Banjir MRA boleh menghubungi ibu pejabat MRA di talian +603-9174 4672 atau membuat sumbangan ke akaun bank RHB, 26424500007270 atas nama Malaysian Relief Agency Foundation.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial