AM

JUALAN TERMURAH MADANI PULAU PINANG MERIAH, PENGUNJUNG TERUJA JIMAT SEHINGGA 30 PERATUS

07/12/2024 04:59 PM

BUKIT MERTAJAM, 7 Dis (Bernama) -- Program Jualan Termurah MADANI peringkat Pulau Pinang hari ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai yang ingin mendapatkan barangan keperluan dengan harga lebih murah.

Lebih menarik, Program Jualan Termurah MADANI yang diadakan di Kampung Masjid Timah, Permatang Pauh di sini, turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang meluangkan masa kira-kira 30 minit di program tersebut turut menyempurnakan Peluncuran Serentak Jualan Termurah MADANI bagi Zon Utara, Zon Selatan dan Zon Tengah.

Seorang pengunjung, Mohd Razali Desa, 52, berkata beliau tidak melepaskan peluang untuk membeli di Jualan MADANI yang diadakan di sekitar Permatang Pauh kerana barangan yang dijual lebih murah berbanding harga pasaran di pasar raya atau pusat beli-belah.

Katanya beliau dapat berjimat sehingga 30 peratus apabila membeli di Jualan MADANI dan berharap program jualan seperti ini dapat diteruskan dengan lebih kerap di seluruh kawasan supaya orang ramai dapat membeli barangan dengan harga murah.

"Hari ini, banyak barangan yang murah seperti ikan, telur, dan beras. Malah, buah-buahan juga murah, seperti buah longan yang hanya RM7 sekilogram. Kami dapat berjimat banyak dan berharap program ini dapat diteruskan," katanya kepada Bernama.

Bagi Norhayati Jamail, 39, beliau berkata dapat berjimat lebih banyak hari ini kerana barangan, terutamanya hasil laut, dijual dengan harga yang lebih murah berbanding harga pasaran. Malah, dengan pembelian RM50 ke atas, pelanggan berpeluang mendapat seekor ayam secara percuma.

"Saya beli ikan, sotong, ketam, dan udang, semuanya sangat murah hari ini. Saya juga membeli bahan-bahan kering untuk memasak. Barangan yang dibeli ini boleh digunakan sehingga dua minggu, jadi saya dapat berjimat," katanya.

Chan Cee Woon, 50, turut mengakui sebagai pengguna yang setia berbelanja di Jualan MADANI kerana bukan sahaja mendapat barangan yang lebih murah, tetapi juga segar dan pelbagai pilihan.

Beliau yang menjaga dua abang Orang Kurang Upaya (OKU) berkata, beliau memilih untuk membeli ikan selar yang dijual dengan harga 50 sen seekor serta beberapa barangan lain yang masih murah berbanding harga pasaran.

"Saya juga beratur untuk membeli beras tempatan, tetapi rupa-rupanya ia diberikan secara percuma kepada pengunjung terawal, dan saya antara yang beruntung menerimanya. Duit yang sepatutnya digunakan untuk membeli beras kini dapat digunakan untuk membeli sayur-sayuran dan buah-buahan," kata beliau yang bekerja sendiri.

Antara barangan keperluan yang dijual pada harga murah di Jualan Termurah MADANI ialah telur ayam, pelbagai jenis ikan, sayur-sayuran, buah-buahan, tepung gandum, dan beras.

Pelbagai hasil laut ditawarkan pada harga berpatutan, antaranya ikan selar yang dijual pada harga 50 sen seekor, ikan siakap RM5 seekor, ikan bawal RM25 sekilogram, ketam RM23 sekilogram, dan sotong RM20 sekilogram.

Lebih menarik, setiap pengunjung yang membeli barangan bernilai RM50 ke atas akan menerima seekor ayam secara percuma, dengan 1,000 ekor ayam disediakan untuk pengunjung. Selain itu, 200 pengunjung terawal turut diberikan beras tempatan pek 10 kilogram setiap seorang.

Sementara itu, di Negeri Sembilan, pengunjung memuji penyediaan kaunter khas pembayaran untuk Orang Kurang Upaya (OKU), ibu mengandung, warga emas serta ruang parkir luas pada program Jualan Termurah MADANI di Port Dickson.

Pada program tersebut, kira-kira  3,000 pengunjung mengambil peluang untuk mendapatkan barangan basah dan kering pada harga yang murah berbanding pasaran.

Antara barangan yang dijual dengan harga lebih murah daripada pasaran adalah ikan bawal, ikan siakap, ayam, telur, minyak masak paket, beras dan keperluan makanan yang lain.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pihaknya berharap supaya program Jualan Termurah MADANI itu dapat diadakan lagi pada masa depan.

"Saya berharap program ini dapat diteruskan dan dilaksanakan secara berkala serta akan diadakan di kawasan parlimen lain. Usaha ini memberi peluang kepada masyarakat untuk membeli barangan dengan harga yang lebih berpatutan," katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, sebuah kaunter turut dibuka bagi mendapatkan maklum balas daripada pengunjung terhadap program jualan murah yang diadakan, sebagai langkah untuk menambah baik program pada masa akan datang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan