BERITA TERGEMPAR | PM Anwar expresses condolences to the family of Egyptian Islamic movement activist Youssef Nada who passed away today | |
KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Pelan Tindakan Nasional Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAP-BHR) akan dilancarkan Januari tahun depan, menandakan kemajuan signifikan ke arah integrasi pertimbangan hak asasi manusia dalam amalan perniagaan negara, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata NAP-BHR bertujuan membantu sektor perniagaan mematuhi piawaian hak asasi manusia peringkat antarabangsa sambil menggalakkan kerjasama antara pihak dalam dan luar negara.
"Pelan ini akan membantu syarikat mematuhi piawaian hak asasi manusia antarabangsa, menyediakan panduan kepada syarikat pelbagai saiz dalam melaksanakan langkah wajar berkaitan hak asasi manusia di samping menangani sebarang kemudaratan yang timbul. "Draf sifar" ini dijangka siap menjelang Januari 2025," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Hari Hak Asasi Manusia 2024, di sini hari ini.
Beliau turut memaklumkan mengenai pelancaran Penilaian Asas Nasional Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NBA) oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Ogos 2024.
Azalina berkata NBA menyediakan gambaran yang komprehensif mengenai landskap hak asasi manusia di Malaysia, mengenal pasti jurang dan cabaran sambil menggariskan cadangan tindakan yang boleh diambil untuk penambahbaikan.
Beliau berkata NBA memberi tumpuan kepada bidang kritikal seperti kesan alam sekitar, hak pekerja dan tadbir urus dengan menyelaraskan kerangka kerja Malaysia dengan piawaian global khususnya Prinsip Panduan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (UNGPs).
Azalina turut mengumumkan rancangan untuk melantik pesuruhjaya kanak-kanak tambahan bagi Malaysia Timur dan Barat untuk bekerjasama dengan Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak.
"Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak telah dijadikan jawatan sepenuh masa untuk memberikan pendekatan yang lebih fokus bagi menangani isu-isu berkaitan kanak-kanak," katanya.
Selain itu, beliau berkata bahawa kerajaan sedang menggubal undang-undang Kebebasan Maklumat (FOI), yang akan dibentangkan di Parlimen menjelang pertengahan 2025.
"Undang-undang ini bertujuan untuk mengukuhkan demokrasi, meningkatkan akses kepada maklumat, memperkasakan rakyat dan membina kepercayaan terhadap kerajaan," jelasnya.
Sebagai satu reformasi oleh kabinet untuk menggantikan Akta Bantuan Guaman 1971 sedia ada, Azalina mengumumkan integrasi Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) ke dalam Jabatan Bantuan Guaman (JBG) dan penubuhan Bahagian Pembelaan Awam.
"Akses kepada keadilan ialah asas kepada perlindungan hak asasi manusia, seperti yang termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat. Berpandukan prinsip ini, Kerajaan MADANI telah mengambil langkah untuk meningkatkan akses dengan membiayai khidmat guaman untuk individu yang layak dalam kes jenayah dan sivil," katanya.
Azalina berkata reformasi ini mencerminkan komitmen kerajaan yang tidak berbelah bahagi terhadap hak asasi manusia dan keadilan di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial