AM

KPDN TERENGGANU ATUR 18 PJRM BERDEKATAN KAWASAN TERJEJAS BANJIR

14/12/2024 12:56 PM

KUALA NERUS, 14 Dis (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Terengganu menjadualkan sebanyak 18 sesi Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) berhampiran lokasi terjejas banjir di seluruh negeri.

Pengarahnya Saharuddin Mohd Kia berkata daripada jumlah tersebut sebanyak enam PJRM diadakan di Hulu Terengganu; empat di Dungun; tiga di Marang; masing-masing dua di Besut dan Kuala Nerus manakala satu PJRM di Kemaman. 

"Sebanyak 10 sesi PJRM telah selesai dilaksanakan berdekatan kawasan terjejas banjir manakala baki lapan lagi sesi bakal menyusul mengikut takwim yang telah ditetapkan.

"Pengunjung boleh melayari takwim PJRM ini melalui laman rasmi kementerian dan laman sosial Facebook KPDN Terengganu," katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan PJRM di pekarangan rumah kedai di Taman Desa Tanjung Damai di Gong Badak, dekat sini hari ini. 

Beliau berkata penganjuran PJRM di lokasi berdekatan kawasan dilanda banjir itu adalah bagi memudahkan penduduk yang terjejas mendapatkan bekalan makanan dan keperluan harian dengan harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada pasaran.

Katanya meskipun garis panduan menetapkan minimum 25 item barangan yang dijual pada harga murah di PJRM namun pihaknya sentiasa memaksimumkan jumlah barangan sehingga sekitar 200 item berdasarkan keperluan di satu-satu kawasan.

Dalam pada itu, Saharuddin mengingatkan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan atau individu agar tidak sesekali melakukan pembelian barang kawalan berjadual di kawasan bencana bagi tujuan edaran bantuan kepada mangsa terjejas.

"Pembelian minyak masak peket bersubsidi bagi tujuan agihan bantuan juga tidak dibenarkan dan disarankan membeli minyak masak kemasan botol," katanya.

Beliau berkata bermula Januari hingga 11 Dis lepas, KPDN Terengganu telah menganjurkan 822 sesi PJRM di kesemua lapan kawasan Parlimen melibatkan 892,065 pengunjung dengan hasil jualan RM37.81 juta.

Sementara itu, rata-rata penduduk Taman Desa Tanjung Damai yang ditemui menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan serta KPDN Terengganu kerana menganjurkan PJRM berdekatan kediaman mereka yang dilanda banjir baru-baru ini. 

Abdul Malik Muhamad, 48, berkata jualan tersebut meringankan bebannya yang terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM4,000 akibat kerosakan barangan rumah termasuk peti ais setelah kediamannya dimasuki air pada paras paha sehingga menyebabkan dia dan keluarga terpaksa berteduh selama satu minggu di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, di sini.

"Barangan yang dijual di sini (PJRM) memang sangat murah. Jadi bolehlah kami sekeluarga jimat banyak untuk barang dapur kerana banyak belanja perlu dikeluarkan bagi membeli dan membaiki perkakas rumah yang rosak," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan