AM

LZS SASAR 15,000 ASNAF DIKELUARKAN DARIPADA KEMISKINAN PENGHUJUNG TAHUN HADAPAN

14/12/2024 06:07 PM

SHAH ALAM, 14 Dis (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan kira-kira 15,000 asnaf di negeri itu dapat dikeluarkan daripada garis kemiskinan dalam masa tiga tahun sehingga penghujung tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata setiap tahun, secara purata LZS dapat mengeluarkan sejumlah 4,000 asnaf daripada status kemiskinan menerusi pelbagai inisiatif, antaranya pembangunan usahawan, kerjaya, kemahiran dan peningkatan pendapatan sendiri.

Beliau berkata ini termasuk program Pembangunan iKerjaya LZS, yang menyaksikan lebih 200 asnaf berjaya mendapat pekerjaan setiap tahun.

"Ini langkah proaktif dalam pembangunan asnaf yang bukan hanya tertumpu kepada usaha kelangsungan untuk bantuan asasi seperti tempat tinggal, makan dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang 2024 yang disempurnakan Timbalan Pengerusi LZS Tan Sri Ambrin Buang, di sini, hari ini.

Sebanyak lima kategori anugerah disampaikan pada majlis itu merangkumi Anugerah Pendidikan, Anugerah Mualaf, Anugerah Usahawan, Anugerah Kerjaya dan Anugerah Khas yang mengiktiraf pencapaian penerima dalam pelbagai bidang.

Ia turut menyaksikan Anugerah Khas, Ikon Mualaf 2024 disampaikan kepada ahli perniagaan Shamala Nair, manakala 23 pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Agama Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan institut pengajian tinggi (IPT) menerima Anugerah Pendidikan.

Mohd Sabirin berkata berdasarkan rekod, LZS ketika ini menyantuni hampir 74,000 keluarga asnaf fakir dan miskin, serta lebih 4,000 mualaf di Selangor.

Beliau berkata LZS turut menaja 7,160 pelajar melanjutkan pengajian ke IPT dan institut latihan kemahiran (ILK), manakala 1,245 pelajar asnaf LZS turut ditempatkan antaranya di sekolah berasrama penuh serta Maktab Rendah Sains MARA.

Sementara itu, Shamala, 36, ketika ditemui pemberita mengakui bantuan diberikan LZS sangat membantunya termasuk bantuan sewa rumah, biasiswa sehingga peringkat sarjana dan sara hidup.

"Empat tahun pertama saya masuk Islam secara senyap-senyap dan ia bukan mudah, namun LZS banyak membantu. Kini, saya bersama suami mengusahakan syarikat pembekalan peralatan di hospital kerajaan dan swasta.

"Anugerah ini bukan untuk saya tetapi semua mualaf di luar sana dengan kita harus sentiasa teguh keimanan dan sabar serta yakin terhadap rezeki yang akan diberikan Allah," katanya. 

Mohd Sabirin dalam pada itu menyeru pembayar zakat yang masih belum membayar zakat, untuk segera berbuat demikian sebelum 31 Dis ini di 18 cawangan LZS atau melalui dalam talian dengan melayari https://www.zakatselangor.com.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan