AM

JPS Mohon PBT Beri Cadangan Penebat Runtuhan Di Tebing Sungai Kelantan

19/12/2024 04:19 PM

KOTA BHARU, 19 Dis (Bernama) -- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi cadangan penebat bagi keruntuhan tanah yang berlaku di tebing Sungai Kelantan berhampiran sebuah kondominium dan hotel di Jalan Post Office Lama di sini baru-baru ini.

Pengarah JPS Kelantan Dr Siti Fairus Zakaria berkata cadangan penebat berkenaan adalah sebagai langkah sementara untuk mempertahankan struktur tanah daripada terus berlaku keruntuhan lain dalam tempoh terdekat.

"Struktur yang runtuh adalah struktur promenade iaitu pejalan kaki yang dibina PBT, oleh itu pemilik struktur (PBT) perlu beri cadangan penebat bagi keruntuhan yang berlaku sama ada menggunakan penebat jenis sheetpile atau teknologi terkini dan sebagainya.

"Bagaimanapun, struktur tembok penahan banjir yang dibina oleh JPS belum runtuh dan masih berfungsi. Oleh itu, pemilik struktur berkaitan perlu beri cadangan (penebat) untuk atasi masalah ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada Isnin, satu runtuhan sepanjang lebih 50 meter dikesan berlaku di tebing Sungai Kelantan menyebabkan laluan pejalan kaki di situ terhumban ke bawah berdekatan sebuah pangsapuri dan hotel di Jalan Post Office Lama hingga menyebabkan laluan pejalan kaki dan rekreasi turut runtuh pada ketinggian hampir 10 meter.

Sementara itu, tinjauan Bernama di kawasan runtuhan berkenaan hari ini mendapati pita keselamatan dilarang melintas oleh pihak berkuasa telah dipasang pada skala yang lebih besar untuk mengelakkan orang ramai daripada terus memasuki kawasan terbabit.

Semalam, Polis Kelantan memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak menghampiri kawasan runtuhan tanah berikutan terdapat segelintir mereka yang tidak mengendahkan garisan kuning dan bertindak memasuki kawasan larangan itu semata-mata untuk merakamkan gambar termasuk membuat siaran langsung di media sosial.

Kerajaan Kelantan sebelum ini turut mengisytiharkan kawasan runtuhan tebing itu sebagai 'kawasan bencana' dan perlu dibaik pulih dengan kadar segera bagi mengelak menjadi lebih teruk memandangkan ia merupakan satu daripada destinasi tarikan pelancong.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan