AM

Rezeki Tahun Baharu, 10 Tan Ikan Segar Percuma Untuk Penduduk Bukit Gantang

01/01/2025 02:08 PM

BUKIT GANTANG, 1 Jan (Bernama) -- Sebanyak 10 tan ikan segar percuma diedarkan kepada 10,000 penduduk di 31 lokasi terpilih di Parlimen Bukit Gantang, di sini selama dua hari sehingga esok sempena sambutan Tahun Baharu 2025.

Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata semua lokasi edaran itu, di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering, Kuala Sepetang dan Trong.

“Untuk hari ini, sekitar 7.5 tan metrik ikan lolong dan pelaling melibatkan 25 lokasi edaran sekitar DUN Changkat Jering dan Kuala Sepetang, manakala 2.5 tan lagi akan diedarkan esok di kawasan DUN Trong melibatkan enam lokasi.

“Pelaksanaan program seumpama ini juga bertujuan mengurangkan beban kos sara hidup penduduk kawasan saya yang rata-ratanya terdiri daripada golongan B40, asnaf, ibu tunggal dan sebagainya,” katanya melalui panggilan video secara langsung di Dewan Taman Mewah Fasa 1, di sini hari ini.

Syed Abu Hussin yang juga Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) berkata semua ikan segar berkenaan diperoleh daripada nelayan sekitar Kuala Kedah (Kedah), Kuala Perlis (Perlis), Endau (Johor) dan Kuantan (Pahang).

Beliau berkata program yang dilaksanakan itu akan diteruskan, selain berharap lebih ramai pihak membantu bagi memastikan ia diperluas ke kawasan lain di seluruh negara.

“Kalau saya selaku Ahli Parlimen sendiri boleh melaksanakan program seumpama ini, individu atau kumpulan lain yang lebih besar juga saya fikir mampu melakukannya. Ia bukan untuk keuntungan peribadi tetapi lebih kepada kepentingan kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, penduduk Siti Aishah Juraimi, 65, berkata program yang dilaksanakan itu sedikit sebanyak meringankan kos sara hidup yang ditanggung penduduk kampung.

“Mungkin sesetengah orang berpendapat pemberian secara percuma (ikan kembung satu kilogram) ini perkara biasa. Namun, bagi kami sendiri ia amat bermakna lebih-lebih lagi dapat kurangkan belanja dapur saya sekeluarga.

“Saya harap program seumpama ini diteruskan dan dapat membantu lebih ramai orang kampung sekitar Parlimen ini,” katanya yang menetap di Kampung Simpang Halt, di sini.

Seorang lagi penduduk Mohd Alif Azizi, 32, yang tinggal di Kampung Cheh, di sini memaklumkan dia mengetahui tentang program berkenaan melalui akaun Facebook rasmi Ahli Parlimen Bukit Gantang, empat hari lepas.

Pekerja kilang itu berkata peluang seumpama itu tidak seharusnya dilepaskan, terutama dengan peningkatan kos sara hidup yang melatari semua golongan pada ketika ini.

“Sebelum ini, banyak program yang dilaksanakan membabitkan jualan harga murah, tetapi kali ini ikan segar diberikan secara percuma.

“Terima kasih pada Datuk Syed (Ahli Parlimen Bukit Gantang) kerana sentiasa komited dalam membantu rakyat di kawasan ini terutama membabitkan hal-hal keperluan harian,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan