AM

Tiada Kompromi Dalam Dakwaan Salah Laku DBKL - Dr Zaliha

01/02/2025 01:08 PM

PUTRAJAYA, 1 Feb (Bernama) -- Tiada kompromi bagi perkara yang melibatkan salah laku tatakelola sehingga menjejaskan aspek integriti di Wilayah Persekutuan, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Merujuk kepada dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta, Dr Zaliha berkata siasatan dalaman berhubung kes berkenaan sedang dijalankan dan beliau dijangka mendapat laporan penuh mengenainya pada minggu hadapan.

“Siasatan dalaman sedang dijalankan, kalau tidak bersalah tiada masalah, tetapi jika terkait maka kita akan ambil tindakan seterusnya.

“Tidak mengapa kalau beliau menafikan tuduhan tersebut (kerana) itu haknya, tapi kita dari sudut tatakelola jabatan dan agensi, kita kena jalankan yang sepatutnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Pertanian Bandar dan Kelulut Putrajaya di Taman Botani, Presint 1 di sini hari ini.

Pada 28 Jan, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif mengesahkan DBKL melancarkan siasatan dalaman itu dengan kerjasama unit integriti DBKL.

Dakwaan salah laku itu sebelum ini tular di media sosial, membabitkan pelanggaran proses tadbir urus berkaitan perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif untuk DBKL bernilai RM4 juta, yang didakwa tidak diberikan melalui tender terbuka.

Bagaimanapun, ahli lembaga penasihat DBKL itu semalam menerusi laman Instagramnya memuat naik kenyataan yang menafikan sekeras-kerasnya terdapat apa jua unsur salah laku dalam perolehan projek itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan