AM

USANITA, SBS Oxford Meterai Mou Sediakan Pendidikan Eksekutif Bertaraf Dunia

06/02/2025 10:41 AM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- USANITA Sdn Bhd (USANITA) mencipta sejarah apabila menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Sekolah Perniagaan Said (SBS), Universiti Oxford bagi menyediakan pendidikan eksekutif bertaraf dunia kepada rakyat Malaysia terutamanya para usahawan dan profesional.

Pengarah Bersekutu Program Pengajian Eksekutif SBS Corinne Young dalam satu kenyataan berkata sejarah turut tercipta apabila Ketua Pengarah Eksekutif USANITA Datuk Adzliana Hasan menjadi usahawan wanita pertama dari Malaysia dan ASEAN yang menandatangani MoU dengan SBS Universiti Oxford. 

Diitubuhkan pada 1996, SBS adalah sekolah perniagaan Universiti Oxford yang dinamakan sempena dermawan Wafic Rida Saïd, yang merupakan ahli perniagaan kelahiran Syria terkenal dengan sumbangannya dalam bidang pendidikan dan kebajikan.

Young berkata walaupun masih muda, SBS kini diiktiraf sebagai antara sekolah perniagaan terbaik dunia di University Oxford yang menawarkan program Sarjana Pentadbiran Perniagaan, pendidikan eksekutif dan kursus dalam pengurusan serta kewangan.

Katanya SBS juga amat teruja untuk bekerjasama dengan USANITA bagi melaksanakan program latihan yang mampu memberikan impak positif terhadap pendidikan eksekutif, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di ASEAN.

“Kami ingin menyediakan peluang kepada para usahawan dari Malaysia dan ASEAN untuk ke Universiti Oxford untuk merasai pengalaman belajar di sini melalui program eksekutif yang ditawarkan. 

"Bagi usahawan wanita pula, mereka berpeluang untuk belajar dan memberikan impak positif kepada Malaysia dan tempat kerja masing-masing,” katanya.

MoU tersebut ditandatangani bersama Adzliana di Pusat Pengajian Eksekutif SBS, di Egrove Park, Oxford semalam, dan turut disaksi Pengarah Pendidikan Tinggi Malaysia di London Prof Madya Dr Mohd Hanafi Ahmad Damanhuri.

Turut hadir, Penasihat Kanan Program Pengajian Eksekutif SBS Hassan Malik, Pengurus Program Pengajian Eksekutif SBS Patricia Alvarez dan Penasihat Program Pengajian Eksekutif SBS Neus Garcia.

Sementara itu, Adzliana di dalam ucapannya berkata pemilihan Universiti Oxford sebagai rakan strategik USANITA adalah kerana sejarah gemilang dan reputasi global universiti berkenaan yang menjadi simbol kecemerlangan dalam aspek pendidikan dan kepimpinan. 

“Pencapaian bersejarah ini dicapai melalui program USANITA yang dikenali sebagai ‘Bridge to Brilliance’. Melalui kerjasama ini, pihak USANITA akan membawa kepakaran bertaraf dunia kepada usahawan dan pelajar Malaysia,” katanya.

Adzliana berkata kerjasama antara USANITA dan SBS ini, selari dengan usaha Kerajaaan MADANI dalam mengukuhkan hubungan diplomatik dan ekonomi antara Malaysia dan United Kingdom seperti yang ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatan rasmi beliau ke negara tersebut bulan lepas.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam rakaman mesej yang disiarkan ketika program tersebut berkata rakyat Malaysia berpeluang merasai pengalaman belajar di insitusi bertaraf dunia melalui kerjasama yang terjalin antara USANITA dan Universiti Oxford.

“Kolaborasi sebegini memperkukuhkan lagi dedikasi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN untuk memacu kepimpinan di peringkat serantau serta meningkatkan inovasi dan perkongsian ilmu di tahap global,” kata  Zambry.

Pada majlis tersebut, delegasi USANITA turut dibawa melawat kemudahan di kampus SBS termasuk Pusat Pengajian Thatcher dan Pusat Pengajian Eksekutif SBS di Egrove Park.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan