AM

MoU LHDN, Persekutuan Pengakap Malaysia Inisiatif Dekati Generasi Muda

06/02/2025 03:38 PM

PUTRAJAYA, 6 Feb (Bernama) -- Pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) merupakan inisiatif untuk mendekati generasi muda dalam menyebarkan maklumat dan meningkatkan kesedaran berkaitan cukai.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) LHDN Shaharrudy Othman berkata pemeteraian MOU itu merupakan hasil kesepakatan bersama bagi menyahut saranan kerajaan untuk membangunkan negara khususnya dalam aspek pendidikan dan kesedaran cukai dalam kalangan generasi muda.

“Antara agenda utama kerjasama yang dipersetujui adalah penganjuran aktiviti pendidikan dan kesedaran cukai dalam kalangan ahli Pengakap melalui program Jamboree-on-the-Air (JOTA) dan Jamboree-on-the-Internet (JOTI),” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan LHDN selepas majlis pemeteraian MoU tersebut.

Shaharrudy berkata majoriti generasi muda dan belia di Malaysia pada masa kini berada dalam kalangan pembayar cukai apabila kerajaan mewajibkan pendaftaran nombor pengenalan cukai (TIN) secara automatik bagi warganegara berumur 18 tahun sejak 2022. 

Katanya, seramai 10,849,315 pembayar cukai dalam kalangan belia berumur 18 hingga 40 tahun telah didaftarkan dalam pangkalan data LHDN sehingga 2024. 

“Sehubungan itu, pendedahan mengenai tanggungjawab percukaian kepada golongan muda perlu diperkasa, sekali gus dapat bersama-sama membangunkan negara melalui medium percukaian,” katanya.

Beliau berharap inisiatif itu berupaya melahirkan generasi muda yang peka terhadap tanggungjawab membayar cukai seiring dengan matlamat Pelan Korporat LHDN 2021-2025.

“Pelan ini bertujuan memastikan pembayar cukai dan bakal pembayar cukai diberikan pendidikan serta kesedaran cukai di peringkat awal demi membentuk budaya pematuhan cukai secara sukarela dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Nasaruddin Shamsuddin berkata jalinan kerjasama seumpama itu bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh lebih 600,000 ahli pengakap di seluruh negara tetapi dapat menyebarkan mesej positif berhubung percukaian dan kepentingan kepada kemakmuran negara serta membentuk warganegara yang cakna cukai.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan