KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengalu-alukan inisiatif kerajaan menyediakan vaksin influenza secara percuma untuk warga emas, dan menggalakkan mereka yang layak supaya memanfaatkan sepenuhnya program itu secepat mungkin.
Presidennya Dr Kalwinder Singh Khaira berkata vaksin selesema itu amat berfaedah untuk warga emas kerana ia telah terbukti berkesan dalam mencegah komplikasi daripada influenza.
“Individu yang lebih berumur dengan komorbiditi, berisiko tinggi mendapat komplikasi teruk yang boleh mengakibatkan kematian atau dimasukkan ke hospital. Justeru mengambil langkah berjaga-jaga seperti mendapatkan vaksin ini amat digalakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MMA turut melahirkan kebimbangan mengenai kekurangan vaksin selesema di klinik swasta, dengan mengatakan bahawa ramai pesakit kini mematuhi nasihat perubatan dan memohon untuk mendapatkan vaksin.
"Walaupun kami menyokong penuh program vaksinasi percuma kerajaan untuk warga emas berisiko tinggi di klinik kerajaan, adalah sama penting untuk mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh pengamal am (GP) dalam usaha vaksinasi komuniti," kata Dr Kalwinder.
MMA seterusnya menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) dan pembekal vaksin memastikan pengedaran vaksin selesema yang mencukupi kepada klinik dan hospital swasta bagi mengelak ‘jurang waktu’ dalam liputan imunisasi.
"Butiran mengenai ketersediaan stok dan garis masa penghantaran juga penting untuk perancangan yang lebih baik," katanya.
MMA turut mengulangi komitmennya untuk bekerjasama dengan kerajaan dan pembekal bagi memastikan akses vaksin yang tepat pada masanya, dan akses terhadap vaksin yang saksama untuk semua rakyat Malaysia.
Sebelum ini KKM mengumumkan warga emas berumur 60 tahun ke atas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit kronik tersenarai boleh menerima vaksin influenza secara percuma mulai 18 Feb.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial