MELAKA, 18 Feb (Bernama) -- Pelaksanaan program pemberian vaksin influenza kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas secara percuma di Melaka bermula hari ini.
Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKN) Melaka dalam kenyataan hari ini berkata vaksin itu diberikan kepada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi, jantung, obesiti, kolesterol tinggi, buah pinggang kronik atau paru-paru kronik.
"Langkah ini adalah inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melindungi golongan berisiko tinggi daripada komplikasi serius akibat jangkitan influenza seperti radang paru-paru (pneumonia), sepsis dan kegagalan organ.
"Pemberian vaksin influenza terbukti selamat dan berkesan dalam mencegah jangkitan serta komplikasi serius di samping mengurangkan kadar kemasukan ke hospital dan kematian dalam kalangan warga emas,” menurut kenyataan itu.
JKN berkata warga emas yang menepati kriteria boleh mendapatkan vaksin influenza secara percuma dengan membuat janji temu melalui aplikasi MySejahtera.
Slot janji temu diberikan berdasarkan ketersediaan vaksin di semua klinik kesihatan di negeri itu dan warga emas yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi disaran mengambil peluang dan membuat temujanji segera kerana jumlah dos yang tersedia adalah terhad.
JKN Melaka komited dalam memastikan kesejahteraan kesihatan rakyat terutama golongan warga emas yang berisiko tinggi terhadap komplikasi influenza.
"Kami menggalakkan mereka yang layak untuk segera mendapatkan vaksin influenza bagi melindungi diri sendiri serta orang tersayang daripada risiko jangkitan yang boleh membawa kepada komplikasi serius," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial