AM

YKN Sumbang RM300,000 Bantu Mangsa Banjir Di Sabah

18/02/2025 05:51 PM

KOTA KINABALU, 18 Feb (Bernama) -- Yayasan Kebajikan Negara (YKN) hari ini menyalurkan sumbangan RM300,000 kepada kerajaan Sabah bagi membantu meringankan beban penduduk terjejas banjir baru-baru ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri yang juga Pengerusi YKN berkata jumlah itu sama seperti diberikan kepada kerajaan Sarawak baru-baru ini.

"Terpulang kepada kerajaan negeri bagaimana mereka mengagihkan bantuan berkenaan dan kami berharap sumbangan ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban penduduk.

"Bantuan ini adalah sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan individu… apabila mereka sampaikan sumbangan kepada YKN, mereka juga akan dapat pengecualian cukai," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan itu kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di sini hari ini.

Nancy turut mengalu-alukan sumbangan daripada pelbagai pihak yang prihatin bagi memperkukuh usaha membantu mangsa bencana.

Beliau berkata selain membantu mangsa bencana, sumbangan juga akan digunakan untuk membina Anjung Kasih YKN.

"Objektif penubuhan Anjung Kasih ialah untuk menyediakan tempat tinggal yang lebih baik kepada pesakit atau saudara mara mereka semasa pesakit menerima rawatan di hospital.

 “Anjung Kasih ini kita akan bina di kawasan hospital. Kalau hospital itu mempunyai tanah, kita akan bina di sana, bergantung kepada sumbangan yang kita terima," katanya.

Nancy berkata YKN juga giat mencari sumbangan untuk mewujudkan Anjung Singgah yang berperanan sebagai pusat rujukan bantuan sosial dan intervensi kepada golongan gelandangan produktif.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan