KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Kementerian Digital bakal memperkenalkan satu sistem perisikan yang pertama seumpamanya di negara ini untuk memantau aktiviti penjualan data peribadi di laman sesawang gelap, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Beliau berkata sistem itu yang akan diperkenalkan pada suku kedua tahun ini dinamakan Projek Keupayaan Automasi Sokongan Perisikan Bagi Pengurusan Kes Ketirisan Data Peribadi.
“Projek ini dibangunkan berikutan peningkatan kebimbangan terhadap isu penjualan dan transaksi data peribadi melalui platform beli-belah dalam talian termasuk laman sesawang gelap.
“Ini merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Digital, melalui Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi (PDP), dalam menangani krisis keselamatan digital global yang semakin membimbangkan,” kata Gobind pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) berkaitan cadangan penubuhan Suruhanjaya Data dan bagaimana ia dapat memperkukuh fungsi Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) untuk mengurangkan insiden kebocoran maklumat peribadi.
Gobind berkata pada masa yang sama, Kementerian Digital melalui Pesuruhjaya PDP juga giat meningkatkan aktiviti penguatkuasaan, memperhebat program advokasi serta menaik taraf perisian, aplikasi dan keselamatan, yang diguna pakai dalam mengawal selia undang-undang keselamatan data peribadi.
Beliau berkata antaranya ialah serbuan di syarikat serta organisasi yang memproses data peribadi dengan transaksi komersial berdasarkan aduan pelanggaran data dan insiden siber yang berlaku selain membuka pejabat Pesuruhjaya PDP di beberapa lokasi seluruh negara bermula di Zon Sabah dan Sarawak.
“Langkah ini kemudian akan diperluas di zon yang ditentukan bagi memudah cara penyelarasan dan pelaksanaan aktiviti serbuan di negeri-negeri di setiap zon yang berkenaan.
“Selain itu program advokasi dan kesedaran juga akan diperhebat bagi memberi kesedaran tentang kepentingan pematuhan pemprosesan data peribadi dengan transaksi komersial berdasarkan Prinsip-prinsip Perlindungan Data Peribadi,” katanya.
Gobind berkata selain itu, Pesuruhjaya PDP juga akan melaksanakan Projek Pensijilan Information Security and Privacy Management System (ISPMS) berlandaskan Standard ISO/IEC 27001 pensijilan Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) dan ISO/IEC 27701 Privacy Information Management System (PIMS).
Beliau berkata langkah itu bagi memastikan keselamatan perisian, aplikasi, sistem maklumat dan privasi entiti pengawal selia Akta 709 sentiasa berada pada tahap optimum mengikut piawaian antarabangsa.
“Dalam usaha melahirkan kepakaran siber negara, kementerian menerusi CyberSecurity Malaysia, akan menubuhkan Akademi Keselamatan Siber Malaysia, seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada September tahun lepas.
“Langkah ini mendukung aspirasi Kementerian Digital untuk mengisi kekosongan tenaga kerja mahir bidang keselamatan siber dengan menawarkan kursus yang berpaksikan Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial