AM

PAC Syor KKR, LLM Buat Analisis Kos Faedah Projek MLFF

18/02/2025 06:35 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaksanakan analisis kos faedah yang lebih terperinci berhubung pelaksanaan Projek Sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF).

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata ini berikutan PAC berpendapat pelaksanaan MLFF tidak akan menyelesaikan kesesakan lalu lintas di lebuh raya bertol secara total.

Perkara itu merupakan antara enam syor PAC terhadap pengurusan pelaksanaa MLFF di bawah KKR dan LLM yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata KKR juga perlu menetapkan atau memuktamadkan hala tuju sistem MLFF dengan segera selepas Perjanjian Pelantikan tamat pada 16 Dis 2024.

“KKR perlu mendapatkan nasihat atau ulasan terperinci daripada Kementerian Kewangan (MOF) atau Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) bagi mengesahkan kaedah perolehan terbaik bagi pelaksanaan MLFF.

“Pelaksanaan MLFF perlu dilaksanakan dengan kaedah terbaik dengan tiada sebarang implikasi kos kepada kerajaan dan pengguna,” katanya dalam kenyataan.

Mas Ermieyati berkata PAC turut berpendapat adalah tidak wajar kerajaan menandatangani sebarang perjanjian yang memberi impak tinggi dan besar semasa kerajaan sementara. 

“Sebagai langkah segera, LLM bersama syarikat konsesi perlu meningkatkan keberkesanan dan kecekapan kutipan tol di setiap plaza tol,” katanya.

Beliau berkata PAC memulakan prosiding berhubung pelaksanaan MLFF pada 26 Feb 2024 susulan pengumuman kerajaan pada Mac 2023 bahawa sebanyak RM3.46 bilion akan dibelanjakan bagi pelaksanaan sistem MLFF.

Mas Ermieyati berkata PAC mengadakan mesyuarat prosiding berhubung isu itu sebanyak enam kali dalam tempoh mulai 26 Feb hingga 19 Nov 2024 dan memanggil saksi melibatkan Ketua Setiausaha (KSU) KKR, bekas KSU KKR (Disember 2021-September 2023), Timbalan KSU (Dasar dan Pembangunan) KKR, Ketua Pengarah UKAS, Ketua Pengarah LLM, Presiden Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia dan Pengarah Projek Konsortium Jaringan Selangor Sdn Bhd.

Beliau berkata hasil daripada prosiding berkenaan PAC membuat 11 rumusan.

“Orang ramai yang berminat untuk membaca dan meneliti Penyata PAC Parlimen berhubung Pengurusan Pelaksanaan MLFF di bawah KKR dan LLM boleh memuat turun penyata berkenaan di laman web PAC di alamat www.parlimen.gov.my/pac,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan