AM

Enam Bulan Tempoh Tambah Baik Sektor Padi, Beras Secara Menyeluruh - Mohamad

19/02/2025 07:27 PM

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjangkakan usaha penambahbaikan industri beras dan padi dapat dilaksanakan secara menyeluruh dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kementerian itu sedang melaksanakan usaha reformasi industri padi dan beras dengan bersungguh-sungguh termasuk melakukan Kajian Industri Padi dan Beras di Malaysia yang telah diselesaikan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Beliau berkata kajian itu bukan hanya meneliti aspek pengeluaran, tetapi juga tadbir urus industri padi dan beras negara bagi mengenal pasti sekiranya wujud tindakan tidak adil atau monopoli dalam pasaran.

“Hasil kajian ini telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan  Makanan Negara (JKKMN) pada 17 Dis 2024 dan laporan ini ialah hak milik MyCC. Oleh itu, sebarang pendedahan kepada umum tertakluk kepada bidang kuasa MyCC sendiri.

“Usaha reformasi industri padi dan beras sedang berjalan dengan bersungguh-sungguh dan kementerian akan terus melaksanakan langkah yang perlu bagi memastikan sistem ini lebih adil, telus dan mampan untuk jangka panjang,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, menyentuh tentang langkah segera yang diambil bagi menangani kesan bencana alam terhadap tanaman padi, Mohamad berkata antaranya termasuklah meningkatkan kapasiti stok penimbal beras negara.

“Jumlah keseluruhan stok fizikal beras ialah 917,937 tan metrik meliputi simpanan stok beras negara (200,000 tan metrik) dan stok dagangan (717,937 tan metrik), yang berupaya menampung 4.59 bulan keperluan negara.

“Stok itu boleh disemak dan ditambah dari semasa ke semasa berdasarkan situasi semasa, termasuk perubahan harga beras dunia dan gangguan rantaian bekalan global,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya Tabung Bencana Pertanian (TBP) juga ditambah kepada RM25 juta untuk tahun ini berbanding RM12.7 juta tahun lepas, namun kadar bantuan setakat ini masih kekal pada kadar maksimum 50 peratus. 

Beliau berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk meneliti semula kadar bantuan ini pada masa hadapan, bergantung pada kemusnahan bencana, kemampuan fiskal negara dan keberkesanan mekanisme bantuan sedia ada. 

“Sekiranya situasi bencana semakin kritikal dan memberikan impak yang lebih besar, kerajaan bersedia untuk menilai semula kadar bayaran bantuan ini berdasarkan keperluan dan impak semasa," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka melancarkan Projek Infrastruktur Pengairan dan Saliran Pertanian di Kedah pada 27 Feb ini, untuk menyokong Program Penanaman Padi Lima Musim Dua Tahun.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan