AM

Tindakan Wajibkan Permit Dron Langkah Tepat Pastikan Keselamatan Ruang Udara

20/02/2025 10:48 AM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Tindakan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mewajibkan semua pengendali dron mendapatkan permit sebelum menerbangkan peralatan berkenaan adalah langkah tepat bagi menjamin keselamatan ruang udara negara.

Presiden Yayasan Mahir Malaysia Datuk P. Sri Ganes berkata langkah itu selaras dengan keperluan kawal selia bagi mencegah penyalahgunaan teknologi dron yang boleh mengancam keselamatan negara, termasuk aktiviti pengintipan, penyeludupan dan pencerobohan ke kawasan larangan.

“Peraturan ini bukan sekadar langkah kawal selia tetapi keperluan kritikal dalam menangani risiko penyalahgunaan teknologi dron untuk tujuan yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

CAAM baru-baru ini mewajibkan semua pengendali dron, sama ada bagi operasi berisiko rendah atau tinggi, aktiviti komersial atau rekreasi mendapatkan permit sebelum menerbangkan peralatan berkenaan.

Keperluan permit itu turut melibatkan sebarang dron atau pesawat tanpa pemandu yang dilengkapi kamera dan terbang pada paras bawah 122 meter.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengambil pendekatan tegas seperti negara lain dengan mengenakan hukuman denda yang tinggi serta penyitaan peralatan bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan.

“Tanpa penguatkuasaan tegas, sebarang pelanggaran keselamatan boleh membawa kepada dasar lebih ketat yang mungkin menjejaskan perkembangan industri dron tempatan,” katanya.

Sri Ganes yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SG Education Group berkata lebih 2,500 insiden melibatkan dron hampir melanggar pesawat telah dilaporkan oleh badan penerbangan antarabangsa setakat ini.

Beliau bagaimanapun berkata negara yang mempunyai program latihan dan pensijilan dron yang ketat seperti Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (Bahagian 107) dan Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA), melaporkan kadar kemalangan dan pelanggaran undang-undang dron yang lebih rendah.

“Sekiranya Malaysia gagal menguatkuasakan latihan dan pensijilan yang ketat, negara mungkin berisiko tinggi dalam industri dron serantau dan kehilangan peluang ekonomi kepada negara jiran yang mempunyai peraturan lebih ketat dan selamat,” katanya.

Sri Ganes berkata industri dron global dijangka berkembang kepada USD54 bilion (RM240 bilion) menjelang 2030, dan Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk menjadi peneraju dalam sektor berkenaan.

Beliau turut menegaskan bahawa penguatkuasaan ketat terhadap permit dan pensijilan bukanlah satu halangan kepada kemajuan, sebaliknya asas kepada pembentukan industri dron yang selamat, profesional dan inovatif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan