AM

JBPM Siap Siaga Hadapi Musim Kemarau Dijangka Bermula Mac

25/02/2025 09:57 PM

KUANTAN, 25 Feb (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini memberi tumpuan berhadapan peralihan cuaca daripada Monsun Timur Laut (MTL) kepada musim kemarau, yang dijangka bermula pada pertengahan Mac depan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Ahmad Izram Osman, berkata pihaknya telah membuat persiapan awal untuk menghadapi musim kemarau ini, bagi memastikan keadaan terkawal.

“Walaupun masih ada banjir kilat di sesetengah tempat, kita perlu beralih dari persiapan banjir kepada persiapan untuk kemarau, berdasarkan maklumat yang diterima daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kebajikan kepada anggota bomba dan balu anggota yang berhadapan musibah sempena lawatan ke Ibu Pejabat JBPM Pahang di Indera Mahkota di sini hari ini. 

Ahmad Izram menjelaskan bahawa musim kemarau ini dijangka akan membawa kebakaran belukar dan tanah gambut, berikutan pengalaman lalu. Oleh itu, pihaknya telah melakukan lawatan dan pemantauan di kawasan-kawasan yang terdedah kepada kebakaran tersebut.

Pahang merupakan negeri ketiga dalam lawatannya, selepas Kelantan dan Terengganu. Turut hadir, Pengarah JBPM Pahang Mohd Razam Taja Rahim.

Selain itu, Ahmad Izram berkata JBPM juga turut mempertingkatkan kesiapsagaan dalam operasi menyelamat dengan memendekkan waktu respons serta mengenal pasti laluan alternatif bagi memastikan bantuan segera tiba ke lokasi kebakaran.

“Persiapan ini merangkumi seluruh negara termasuk Pahang, seperti di Rompin. Baru-baru ini, kebakaran terbuka dilaporkan di ladang kelapa di belakang kilang MCKIP Gebeng sejak Sabtu lepas. Setakat ini, anggota bomba dari Balai Gebeng berjaya memadamkan api seluas 0.4 hektar dan usaha pemadaman masih diteruskan,” katanya.

Dalam perkara lain, beliau berkata statistik kematian mangsa lemas sepanjang tempoh MTL pada tahun lepas hingga kini di Pahang, ialah seramai lapan mangsa, kebanyakannya lelaki dewasa dan seorang warga emas.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan