KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- OPPO Malaysia hari ini melancarkan model OPPO A5 Pro 5G dan OPPO A5 Pro, dua telefon pintar tahan lasak berprestasi tinggi yang direka untuk aktiviti luar, permainan dan hiburan.
Model terbaharu dalam siri OPPO A itu menampilkan ketahanan luar biasa dengan pensijilan kalis air dan debu IP69/68/66 serta Rintangan Kejutan Gred Tentera, memastikan kebolehpercayaan dalam pelbagai situasi mencabar.
Pengurus Pemasaran OPPO Malaysia Jonathan Lim berkata OPPO A5 Pro 5G dijual pada harga RM1,099 bagi varian lapan gigabat (GB) RAM dan 256GB storan data seunit, manakala OPPO A5 Pro ditawarkan pada harga RM899 (8GB + 256GB) seunit dan boleh didapati bermula 15 Mac ini.
Beliau berkata OPPO A5 Pro 5G boleh didapati dalam warna Bloom Pink dan Mocha Brown, manakala OPPO A5 Pro tersedia dalam warna Olive Green bermula 15 Mac.
"Model ini boleh dibeli di kedai jenama OPPO, My OPPO Space, pengedar sah OPPO serta menerusi platform dalam talian seperti OPPO E-Store, Lazada, Shopee, dan TikTok Shop," katanya semasa berucap melancarkan Oppo A5 Pro dan sesi berbuka puasa di Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah, di sini hari ini.
Pada majlis itu, OPPO Malaysia turut mengumumkan kerjasama dengan Majlis Sukan, Kebajikan dan Kebudayaan Anggota Bomba (MASKAB) sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosialnya.
Selain itu, Lim berkata sebagai tawaran promosi, setiap pembelian OPPO A5 Pro 5G atau A5 Pro akan disertakan dengan beg silang badan edisi khas OPPO x UEFA Champions League secara percuma bersama pelan perlindungan OPPO Care Plus bernilai RM1,108.
"Pelanggan juga boleh menambah RM100 untuk mendapatkan OPPO Enco Buds3 Pro fon telinga tanpa wayar bagi pengalaman audio yang lebih mengasyikkan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Hassan ‘As’ari Omar berkata setiap RM1 daripada pembelian OPPO A5 Pro akan disumbangkan kepada MASKAB dengan sasaran kutipan sebanyak RM100,000.
Beliau berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen OPPO Malaysia dalam menghargai jasa mereka yang berkhidmat melindungi masyarakat, selain memastikan MASKAB dapat meneruskan usaha menyokong kebajikan dan pembangunan anggota bomba Malaysia.
“Kami berterima kasih kepada OPPO Malaysia atas kempen ini yang memberi sokongan kepada kesejahteraan anggota bomba. Ia bukan sahaja mengiktiraf dedikasi mereka, malah membantu dalam penyediaan peralatan dan sokongan yang lebih baik,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial