KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Kerjasama masa depan antara pihak berkepentingan mustahak dalam mencapai objektif lebih luas Ekosistem Digital yang selamat dan bertanggungjawab melalui pelaksanaan kerangka lesen media sosial.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung dalam satu kenyataan hari ini berkata walaupun tidak semua pihak telah menyertai, namun kemajuan yang dicapai setakat ini adalah memberangsangkan, dengan penyertaan empat platform media sosial dan pesanan, iaitu WeChat, Telegram, TikTok dan Meta dalam pelaksanaan kerangka tersebut yang berkuat kuasa mulai 1 Jan.
Lee juga menggesa Google untuk berhubung dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya mereka juga dapat menyertai proses ini.
"Saya juga menghargai usaha Kementerian Komunikasi dan MCMC dalam memelihara kebebasan bersuara sambil melaksanakan peraturan dan akauntabiliti," katanya.
Lee berkata Kerangka Lesen Media Sosial hadir pada masa yang tepat memandangkan kerugian kewangan keseluruhan di bawah #ScamVictimSupport telah melebihi RM10 juta, malah sesetengah mangsa masih mengalami trauma selepas penipuan walaupun bertahun-tahun.
“Ini adalah isu yang dekat di hati saya kerana saya telah membantu banyak mangsa penipuan sebelum ini dan ini adalah masalah yang berlaku secara meluas dan perlu ditangani segera.
"Secara ringkasnya, kita memerlukan platform-platform ini untuk mengambil lebih banyak akauntabiliti dan tanggungjawab bagi meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan di dunia digital," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial