PUTRAJAYA, 23 Jan (Bernama) -- Kempen Keselamatan Dalam Talian merupakan antara program “flagship” Kementerian Komunikasi pada tahun ini bagi memastikan penggunaan internet yang lebih selamat untuk semua lapisan masyarakat, kata menterinya Fahmi Fadzil.
Beliau berkata Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian yang telah dilancarkan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 21 Jan lepas akan diperluas ke sekolah rendah dan menengah.
"Perlu (ada) mesej jelas pastikan internet bukan hanya lebih murah, lebih meluas, lebih laju tapi paling penting lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga kita," katanya kepada media selepas majlis perhimpunan bulanan kementerian, di sini hari ini.
Turut hadir pada perhimpunan bulanan itu adalah timbalannya Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Fahmi berkata kempen itu dimulakan dengan fokus kepada Universiti Awam (UA) melibatkan pelajar dari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), yang dilihat mampu membawa mesej kempen keselamatan dalam talian ke seluruh pelosok kampus di seluruh negara.
"Selepas ini, usaha kempen perlu membina modul bagi beberapa lapisan. Kita fokus kepada UA sebagai permulaan dan diikuti dengan usaha membawa kempen ini ke sekolah-sekolah.
"Harapan saya di peringkat sekolah, mesej yang boleh disampaikan bagi sekolah rendah ialah anak-anak berumur bawah umur 13 tahun 'Say No to Social Media' dan di peringkat sekolah menengah (mesej) memanfaatkan (internet) dengan selamat supaya tidak jadi mangsa scam, mangsa pedofilia. Gunakan internet khususnya media sosial dengan selamat dan bijak," katanya.
Kementerian Komunikasi menurutnya menyasarkan kempen itu dapat digerakkan ke 10,000 sekolah rendah dan menengah serta sejumlah institusi pengajian tinggi (IPT) menjelang hujung tahun ini.
Beliau berkata pasukan yang dilatih seterusnya dapat pergi ke masjid, surau dan tempat ibadat, persatuan penduduk serta rukun tetangga untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran keselamatan dalam talian dalam kalangan semua lapisan masyarakat.
Fahmi berkata beliau juga meminta KSU untuk menjemput pasukan dari pelbagai agensi memandangkan isu keselamatan dalam talian bukan hanya melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tetapi memerlukan kerjasama semua pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan platform media sosial.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial