KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) telah menerima penarafan teratas dalam ranking Hospital Swasta Terbaik Asia 2025 oleh Newsweek, yang mengiktiraf komitmen berterusan hospital untuk mencapai kecemerlangan khususnya dalam bidang ortopedik dan oftalmologi.
SMC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa mereka telah diiktiraf sebagai hospital terbaik di Malaysia dalam empat daripada lima prosedur utama, iaitu pembedahan dan penggantian lutut, pembedahan bahu, pembedahan katarak dan pembedahan refraktif mata.
Selain itu, mereka juga berada pada kedudukan kedua di Asia untuk pembedahan katarak dan ketiga bagi pembedahan refraktif mata.
SMC turut tersenarai sebagai antara 10 hospital terbaik di Asia bagi iaitu kedudukan keenam bagi pembedahan dan penggantian pinggul, serta pembedahan dan penggantian lutut selain berada di tempat ke-10 untuk pembedahan bahu.
Presiden Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway Datuk Lau Beng Long menyatakan rasa gembiranya, kerana hospital itu tersenarai sebagai antara hospital terbaik di Asia dalam bidang kepakaran utama seperti ortopedik dan oftalmologi.
“Ini menjadi bukti usaha berterusan kami dalam mencapai kecemerlangan klinikal. Pengiktirafan ini juga menzahirkan dedikasi pasukan pakar perubatan dan pengamal penjagaan kesihatan profesional lain, dalam menyediakan penjagaan dan rawatan pelbagai disiplin bertaraf tinggi kepada pesakit tempatan dan antarabangsa kami,” katanya.
Sebagai hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia, SMC terus menjadi peneraju dalam inovasi perubatan dan penjagaan pesakit, dengan menawarkan 28 pusat kecemerlangan yang disokong pasukan pelbagai disiplin yang menyediakan rawatan khusus untuk pesakit dalam sistem penjagaan holistik.
Kenyataan itu memaklumkan SMC juga merupakan hospital swasta pertama di Malaysia yang memperoleh tiga akreditasi utama hospital iaitu The Gold Seal of Approval, Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI) dari Amerika Syarikat, Majlis Piawaian Penjagaan Kesihatan Australia (ACHS) dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH).
“Pusat Mata Sunway yang merupakan antara pusat kecemerlangan SMC menawarkan perkhidmatan merangkumi pelbagai subkepakaran termasuk katarak dan refraktif mata, pemindahan kornea dan penyakit mata luar, retina perubatan dan uveitis, glaukoma, oftalmologi oculoplastik, vitreoretinal, oftalmologi pediatrik dan juling.
“SMC dilengkapi dengan kepakaran dan peralatan untuk merawat dan menguruskan pelbagai jenis penyakit mata, bagi memastikan penjagaan holistik dan optimum untuk pesakit,” menurut kenyataan itu, yang turut memaklumkan pusat mata itu menerima Anugerah Duta ZEISS SMILE baru-baru ini, kerana telah menjalankan 2,000 prosedur refraktif SMILE.
Selain itu, Pusat Ortopedik Sunway di SMC juga menawarkan perkhidmatan penjagaan primer dan subpengkhususan yang komprehensif termasuk penjagaan trauma, pembedahan pinggul dan lutut, pembedahan tulang belakang, rawatan kaki dan buku lali, pembedahan tangan dan mikro, ortopedik pediatrik, onkologi ortopedik dan pembedahan sukan.
“Bersama-sama Pusat Pembedahan Robotik dan Pembedahan Invasif Minimum (MIS), SMC telah mencapai kejayaan yang memberangsangkan, termasuk dalam pembedahan penggantian pinggul dan lutut robotik yang mendapat pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records.
“Pencapaian ini menekankan kepakaran pusat tersebut dan komitmen terhadap inovasi yang tidak berbelah bahagi. Pusat kecemerlangan ortopedik tekad untuk menetapkan tanda aras baharu dalam bidang ortopedik menerusi tumpuan untuk memajukan teknologi dan meningkatkan hasil pesakit,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, SMC diiktiraf sebagai antara 250 hospital terbaik di dunia dalam ranking Hospital Terbaik Dunia Newsweek 2024, selain turut diiktiraf Hospital tersebut turut tersenarai Hospital Pakar Terbaik Asia Pasifik Newsweek untuk dua tahun berturut-turut pada 2023 dan 2024.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial