AM

NGO Penuhi Hasrat 25 OKU Ke Kuil Di Puncak Bukit Sempena Thaipusam

02/02/2025 10:48 PM

GEORGE TOWN, 2 Feb (Bernama) -- Perayaan Thaipusam tahun ini memberi seribu makna kepada 25 Orang Kurang Upaya (OKU) apabila mereka berpeluang melakukan upacara keagamaan di Kuil Arulmigu Balathandayuthabani di Jalan Kebun Bunga, di sini hari ini menerusi inisiatif pertubuhan Malaysia Tamilan Uthavum Karangkal (MTUK).

Pengasas NGO itu Dr A. Muraly berkata sebanyak 125 sukarelawan terlibat mengangkat kesemua OKU itu yang berkerusi roda secara bergilir-gilir mendaki 513 anak tangga untuk sampai ke kuil berkenaan yang terletak di puncak bukit.

Beliau berkata aktiviti sosial itu bagi membantu merealisasikan hasrat golongan OKU fizikal untuk berdoa dan bernazar di kuil berkenaan dengan sebelum ini dibuat di Kuil Sri Subramaniar Sawmy dekat Batu Caves, Selangor yang dimulakan sejak penubuhan MTUK pada 1999.

“Apa yang saya dan pasukan lalukan ini adalah bagi memberi kegembiraan kepada golongan OKU kerana mereka juga ada keinginan untuk naik ke kuil itu tetapi tidak berkeupayaan.

“Tuhan telah berikan kehidupan yang baik, jadi ini merupakan antara cara kita membalas kembali dengan berbuat kebaikan kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui pemberita.

Muraly berkata sebanyak 10 OKU yang hadir pada hari ini datang dari Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan manakala 15 lagi dari Pulau Pinang.

Beliau berkata kumpulan OKU itu dibawa naik seorang demi seorang bermula 4.30 petang dan sebaik tiba di atas mereka terus melakukan upacara sembahyang dan berdoa sebelum dibawa turun semula.

“Kita dapat lihat mereka (penganut) sangat gembira hingga ada yang menitiskan air mata kerana akhirnya hasrat mereka untuk naik ke kuil ini bersempena Thaipusam akhirnya tercapai. Itu yang buat kita rasa bangga,” katanya.

Turut menyertai acara berkenaan adalah Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (LWHPP) RSN Rayer dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S. Sundarajoo.

Sementara itu, M.Eswari, 50, berkata sudah 10 tahun dia terlepas peluang untuk naik ke kuil itu berikutan lumpuh separuh badan dari paras pinggang ke bawah akibat kemalangan jalan raya.

“Sudah 10 tahun saya tak dapat datang ke kuil ini walaupun sebelum kemalangan, memang saya akan datang ke kuil ini setiap kali Thaipusam. Hari ini, saya rasa amat terharu kerana dapat naik lagi.

“Saya mahu berdoa supaya saya dapat berjalan semula demi anak-anak saya,” katanya yang merupakan seorang ibu tunggal dalam nada sebak.

Bekas tentera A. Arumugam, 70, dari Air Hitam pula memberitahu ini kali pertama dia naik ke kuil berkenaan berikutan kekangan dihadapi selepas kaki kanannya terpaksa dipotong hingga ke paras lutut akibat kencing manis dua tahun lepas.

“Disebabkan itu, saya memakai kaki palsu jadi pergerakan terbatas, tetapi hari ini saya dapat naik dengan bantuan sukarelawan dan mereka juga beri sokongan moral jadi saya lebih bersemangat,” katanya.

M.Kogulan, 19, yang kali pertama menjadi sukarelawan berkata dia seronok dapat turut sama dalam acara itu kerana boleh berbakti kepada mereka yang memerlukan terutama warga emas.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan