KANGAR, 4 Feb (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil inisiatif memperluaskan pengetahuan usahawan di Perlis dalam memasarkan produk mereka melalui platform digital dengan menganjurkan Kursus Grooming Usahawan Agrobazaar Online (From Zero to Viral).
Pengarah FAMA Perlis Mohd Anzara Azizan berkata kursus yang dianjurkan dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu disertai oleh 40 usahawan baharu dan sedia ada dengan program memberi fokus kepada penghasilan bahan promosi serta strategi pemasaran bagi meningkatkan imej produk dan memperluaskan kaedah pemasaran mereka.
"Kerjasama antara FAMA dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Perlis juga berjaya menarik minat hampir 651 graduan dan pelajar untuk menjadi ejen pemasar melalui program New Breed Marketing Entrepreneur (NBME)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Anzara, nilai jualan yang dicatatkan oleh usahawan Perlis melalui portal Agrobazaar Online pada tahun lepas hampir mencecah RM200,000, melibatkan 40 usahawan.
Beliau berkata selain latihan dan bimbingan, FAMA Perlis turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka, khususnya dalam sektor agromakanan.
Sementara itu, Mohd Anzara berkata pihaknya turut meninjau status terkini usahawan yang menerima bantuan Pembaikan Imej Pembungkusan pada 2024 iaitu J&W Empire yang mengusahakan Pes Laksa Kuala Perlis.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial