KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak mencatatkan penurunan manakala di Sabah meningkat sedikit, setakat 4 petang ini.
Di SARAWAK, jumlah keseluruhan mangsa yang ditempatkan di 21 PPS di lima bahagian negeri itu berkurang kepada 4,389 orang berbanding 4,705 orang pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak melaporkan bahagian Bintulu kekal dengan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,907 orang berbanding 1,880 orang pada pagi tadi, diikuti Mukah yang bertambah seorang kepada 615 orang manakala di Sarikei kekal 13 orang.
Mangsa banjir di Sibu mencatatkan penurunan kepada 1,160 mangsa berbanding 1,186 orang, begitu juga di Miri yang berkurang kepada 694 orang daripada 961 orang pagi tadi, sementara satu-satunya PPS di Samarahan ditutup 12.30 tengah hari tadi.
Dalam pada itu di SABAH, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 663 daripada 178 keluarga berbanding 608 daripada 162 keluarga pagi tadi.
Sekretariat JPBN Sabah memaklumkan peningkatan itu ekoran daerah Tambunan dilanda banjir dengan 13 orang daripada empat keluarga ditempatkan di PPS Dewan Masyarakat Tambunan yang dibuka 9 pagi tadi.
"Sebanyak 246 orang daripada 73 keluarga ditempatkan di PPS Beaufort, 267 orang (68 keluarga) di dua PPS daerah Kinabatangan, dan 137 orang (33 keluarga) di dua PPS di daerah Keningau," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial