ALOR SETAR, 8 Feb (Bernama) -- Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu hari ini meninjau status terkini pemuliharaan terumbu karang serta perkembangan aktiviti konservasi marin di Taman Laut Pulau Payar.
Dalam lawatan kerjanya itu, Mohamad berkata beliau turut menyaksikan program penanaman 300 terumbu karang di Pusat Taman Laut Pulau Payar yang menandakan permulaan bagi menggiatkan semula aktiviti restorasi karang di kawasan taman laut itu selepas dihentikan sementara.
"Alhamdulillah, aktiviti pemuliharaan terumbu karang kini kembali berjalan setelah dihentikan sementara sejak 2 Julai 2024 berikutan fenomena kelunturan karang yang melanda perairan negara," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Mohamad berkata beliau turut melepaskan benih gamat sebanyak 120 ekor sebagai sebahagian daripada langkah pemuliharaan spesies marin berharga itu.
"Benih gamat yang dilepaskan terdiri daripada spesies Stichopus sp atau lebih dikenali sebagai gamat emas yang berusia 120 hari dengan berat antara tiga hingga 10 gram (g) dan panjang antara dua hingga 10 sentimeter (cm),” katanya.
Beliau berkata kerajaan sentiasa komited memastikan kelestarian ekosistem marin dan pemuliharaan biodiversiti di perairan negara khususnya di kawasan taman laut.
Menurut Mohamad Jabatan Perikanan akan terus memainkan peranan utama dalam memantau dan mengawal selia aktiviti pemuliharaan terumbu karang bagi menjamin keseimbangan ekosistem laut negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial