PORT DICKSON, 20 Feb ( Bernama) -- Langkah intervensi kerajaan bagi mengatasi kekurangan kelapa menerusi import dapat membantu menambah bekalan sempena Ramadan dan Aidilfitri nanti dengan 34 tan metrik akan diagihkan untuk pasaran di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata keseluruhannya sebanyak 68 tan metrik kelapa diimport dari Indonesia untuk kegunaan Negeri Sembilan, Johor serta Melaka.
Beliau berkata Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan melakukan pengagihan bekalan dan peniaga diharapkan tidak menaikkan harga memandangkan bekalan kelapa di negeri ini mencukupi menerusi langkah berkenaan.
"Saya dapat maklum santan sekilo dijual sekitar RM12 ke RM14 sahaja, tetapi ada peniaga jual sehingga RM16 sekilo.
"Jadi saya berpandangan, kekalkan harga sedia ada, kita mahu pastikan rakyat di negeri ini dapat menyambut Ramadan dan perayaan dalam keadaan keperluan kelapa mencukupi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Teknikal Sayuran dan Jom Bertani 2025 di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Hisyam Yacob.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial