AM

Perak Berpotensi Jadi Pelopor Bidang Kesihatan Digital Di Malaysia - Exco

23/02/2025 02:56 PM

IPOH, 23 Feb (Bernama) -- Perak berpotensi besar menjadi pelopor kepada transformasi kesihatan digital berdasarkan liputan 4G serta 5G yang merekodkan kadar capaian masing-masing 99.76 peratus serta 81 peratus di kawasan berpenduduk seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Mohd Azlan Helmi berkata kadar capaian memberangsangkan itu menjadi nilai tambah serta membuktikan kesediaan Perak memacu sektor penjagaan kesihatan ke arah yang lebih moden dan bersepadu.

“Dengan jaringan internet yang kukuh dan meluas, pelaksanaan teleperubatan dan pemantauan kesihatan secara digital dapat diperkasakan dengan lebih berkesan di Perak.

“Teknologi ini bukan hanya memberi manfaat kepada penduduk bandar, tetapi turut memastikan masyarakat luar bandar tidak terpinggir daripada menerima perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Rintis Future Health For All (FH4A) di Dewan Komuniti Taman Cempaka di sini hari ini yang turut dihadiri lebih 200 masyarakat setempat.

Mohd Azlan berkata kemajuan dalam bidang infrastruktur digital juga perlu dioptimumkan bagi membuka ruang kepada inovasi baharu, sekali gus membolehkan sektor kesihatan bergerak seiring dengan perubahan global dan memenuhi keperluan rakyat secara menyeluruh.

Mengulas mengenai program hari ini, beliau berkata empat lokasi di Perak terpilih untuk menjayakan projek rintis yang bermula hari ini hingga 24 Feb.

Beliau berkata antara lokasi berkenaan adalah Dewan Komuniti Taman Cempaka (Ipoh), Dewan Serbaguna Seri Desa, Rishah Buntong 5 (Ipoh), Dewan Orang Ramai Balok, Kampung Balok Baru, Felda Trolak (Sungkai) dan Dewan Merdeka (Manjung).

“Program rintis ini bertujuan memberi kesedaran serta membolehkan lebih ramai rakyat Perak memahami kepentingan teknologi terhadap penjagaan kesihatan pada masa depan,” katanya.

Pada 18 Jan lepas, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil melancarkan program FH4A yang akan dilaksanakan di 20 lokasi terpilih di enam negeri melibatkan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Johor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan