AM

Liputan Rangkaian 5G Di Kelantan Capai 67 Peratus - Teo

23/02/2025 12:22 PM

KOTA BHARU, 23 Feb (Bernama) -- Liputan perkhidmatan rangkaian 5G di Kelantan telah mencapai 67 peratus di kawasan berpenduduk, meliputi 232 stesen yang siap dibina setakat tahun lepas.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata pihaknya berhasrat untuk memperluaskan lagi rangkaian internet 5G ini di Kelantan supaya rakyat dapat melakukan urusan harian dan sebagainya dengan lebih baik.

"Selain itu 152 menara telekomunikasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) telah siap dibina dan memberi manfaat lebih 1.89 juta penduduk di Kelantan," katanya ketika menjadi tetamu jemputan dalam temu bual khas selama 30 minit menerusi segmen 'Kecek Kiro Kito' di KELANTANfm di sini hari ini.

Teo berkata Kelantan setakat ini mempunyai 75 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), dan beliau menjangka empat lagi pusat berkenaan siap sepenuhnya dan dapat beroperasi tahun ini.

NADI merupakan projek kerajaan yang digerakkan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dengan matlamat merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat luar bandar dan bandar.

Sebelum ini Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata liputan rangkaian 5G di seluruh negara mencapai 82.4 peratus di kawasan berpenduduk setakat Disember 2024, menjadikan Malaysia antara negara terpantas di dunia yang memperluas akses komunikasi dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan