KUANTAN, 24 Feb (Bernama) -- Pahang merekodkan kedatangan sebanyak 13.74 juta pelancong dengan anggaran perbelanjaan RM12.35 bilion sepanjang tahun lepas, sekali gus melebihi sasaran ditetapkan kerajaan negeri iaitu 13.5 juta pelancong.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri Leong Yu Man berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan positif sebanyak 3.87 peratus berbanding tempoh sama pada 2023 iaitu 13.23 juta pelancong dengan perbelanjaan dianggar sebanyak RM11.89 bilion.
Beliau berkata angka berkenaan hanya mengambil kira pelancong yang bermalam sekurang-kurangnya satu malam dan tidak termasuk pelancong harian dan dipercayai jumlah kedatangan pelancong akan jauh lebih besar sekiranya statistik pelancong harian direkodkan.
“Empat destinasi yang menerima paling ramai jumlah kedatangan pengunjung bermalam ialah Genting Highlands dengan sebanyak 8.55 juta pelancong, diikuti Kuantan (2.28 juta), Cameron Highlands (1.37 juta) dan Temerloh (286,038).
“Selain itu, kami turut berbangga dengan pencapaian Taman Negara yang mencatatkan peningkatan kedatangan pengunjung pada tahun lepas iaitu 135,435 berbanding 128,592 pelancong pada 2023, ini merupakan catatan paling tinggi, malah lebih tinggi sebelum COVID-19 dan Tahun Melawat Pahang 2017,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Perancangan Tourism Pahang Tahun 2025 di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Besar Tourism Pahang Kamaruddin Ibrahim.
Mengambil kira prestasi kedatangan pelancong ke Pahang yang memberangsangkan, Leong berkata kerajaan negeri menetapkan sasaran 13.8 juta pelancong tahun ini dengan penganjuran pelbagai program domestik dan antarabangsa selain memastikan setiap daerah mempunyai sekurang-kurangnya satu produk pelancongan untuk dipromosikan.
“Setakat ini, sebanyak 35 acara pelancongan telah dimasukkan ke dalam kalendar acara pelancongan negeri dan akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut permintaan dan sebagainya. Untuk 2025, Tourism Pahang akan memberi penekanan kepada program seperti Malaysia International Tourism Expo Pahang yang memasuki tahun kedua.
“Selain itu lawatan suai kenal dengan membawa agensi pelancongan dari luar negara seperti Singapura, China dan India serta agensi pelancongan tempatan dari Selangor, Perak, Johor dan negeri lain dalam mempromosikan Pahang,” katanya.
Dalam pada itu, Kamaruddin berkata pelancong domestik merupakan penyumbang terbesar kedatangan pelancong ke negeri ini dengan merekodkan 80 peratus manakala selebihnya pelancong antarabangsa.
”Pelancong Singapura paling ramai datang ke Pahang iaitu lebih 60 peratus adalah dari negara itu. Faktornya, Singapura paling dengan kita dan mereka memang sangat meminati produk pelancongan berasaskan alam semula jadi, ekopelancongan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial