ALOR SETAR, 12 Mac (Bernama) -- Polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti supsek disyaki terlibat dalam kejadian rusuhan membabitkan pekerja di sebuah kilang perindustrian di Jabi, Pokok Sena, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Siti Nor Salawati Saad berkata pihaknya mengesan sebuah video berdurasi satu minit 11 saat yang tular di aplikasi TikTok, memaparkan sekumpulan individu dipercayai pekerja kilang telah merusuh.
“Sepasukan anggota dari Balai Polis Pokok Sena telah dikerahkan ke lokasi bagi meninjau keadaan di sana. Siasatan awal mendapati kejadian kira-kira pukul 12.05 tengah hari itu berlaku selepas terjadinya pertelingkahan antara sekumpulan pekerja warga Nepal dan Bangladesh dengan dua penyelia kilang berkenaan.
“Pertelingkahan dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati pekerja kilang itu mengenai isu kelewatan pembayaran gaji yang dimaklumkan oleh pihak syarikat berkenaan dan telah berlaku kejadian tolak menolak sehingga menyebabkan tiga individu mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata sehubungan itu pihaknya sedang mengenal pasti supsek terlibat, berikutan satu laporan polis telah dibuat berkaitan kejadian itu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. Setakat ini, keadaan terkawal dan difahamkan isu pembayaran gaji pekerja kilang berkenaan telah diselesaikan oleh pihak syarikat terbabit,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial