SEREMBAN, 26 Jan (Bernama) -- Program Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Microsoft AI TEACH Skills for AI-Enabled Economy mampu membantu masyarakat bersedia dalam menghadapi cabaran dunia digital.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan Datuk Mohd Faizal Ramli berkata inisiatif ini juga dilihat sebagai antara usaha untuk terus memperkasakan komuniti setempat dengan pembangunan kapasiti kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata penganjuran program itu turut mendokong hasrat melahirkan masyarakat celik digital seperti terkandung dalam Pelan Ekonomi Digital Negeri Sembilan 2027.
"Saya amat berbesar hati kerana Negeri Sembilan bakal menjadi saksi kepada antara inisiatif adaptasi teknologi AI yang bakal memberi impak positif kepada komuniti setempat. Program ini langkah strategik untuk memperkasakan kemahiran digital rakyat.
“Melalui pengetahuan dalam AI dan teknologi terkini, program ini dapat membantu kita meningkatkan daya saing tenaga kerja serta merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program MCMC Microsoft AI TEACH Skills for AI-Enabled Economy peringkat negeri di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Kanan MCMC Wilayah Selatan Mohamad Rizal Ahmad, Pengarah Unit Perancang Ekonomi negeri Datuk Muhammad Nahar Sidek dan Timbalan Rektor Penyelidikan Jairngan Industri, Masyarakat dan Alumni UITM Cawangan Negeri Sembilan Dr Aslizah Mohd Aris.
Selain itu, turut tidak ketinggalan hadir ialah Pengarah MCMC Negeri Sembilan Ts Md Tahir Musa, Pengarah Kanan Sektor Awam Microsoft Malaysia Azhar Abdullah dan Ketua Pegawai Ekosistem Biji-biji Initiative Jeyasudan Balasundran serta Pegawai Kanan Perkhidmatan Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri P. Sopana.
Program anjuran MCMC bersama rakan pelaksana Biji-biji Initiative dan rakan kerjasama strategik iaitu UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban dan Kuala Pilah serta Perkeso itu disertai lebih 400 komuniti membabitkan 129 dari Kampus UiTM Cawangan Seremban dan Kuala Pilah (34).
Selain itu, 62 pusat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Negeri Sembilan melibatkan 237 peserta turut diaktifkan bagi memberi peluang dan akses kepada mereka yang tidak dapat hadir secara fizikal ke lokasi utama program sekali gus membolehkan mereka menyertai program secara dalam talian.
Dalam pada itu, Mohd Faizal berkata di Negeri Sembilan, program tersebut akan memfokuskan kepada komuniti yang berada di sekitar NADI sejajar dengan hasrat kerajaan mengurangkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar sekali gus tiada yang ketinggalan dalam kemajuan teknologi.
Beliau berkata sejak dilancarkan pada 20 Jun 2024, program itu berjaya melatih seramai 1,352 ahli komuniti tempatan termasuk dari Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang, Melaka, dan Selangor.
Menerusi program itu, peserta menerima latihan menyeluruh dalam bidang AI termasuk pemahaman tentang konsep asas AI, etika dalam penggunaan AI, serta pembangunan resume dan portfolio untuk meningkatkan peluang pekerjaan mereka.
Peserta V Hema, 31, berkata program berkenaan sangat membantu terutama bagi generasi masa kini untuk meningkatkan kemahiran masing-masing mendepani dunia yang semakin mencabar selain boleh diaplikasikan dalam sektor pekerjaan.
"Ini kali pertama saya sertai kursus AI, banyak perkara baharu yang saya belajar antaranya cara mudah membuat 'slide' untuk perbentangan kertas kerja dan membantu pengunaan ayat yang lebih tersusun," kata pegawai kualiti yang telah bekerja di sebuah syarikat swasta selama enam tahun.
Senada dengannya, Nurul Fadzni Muhammad, 38, berkata pengetahuan mengenai teknologi AI merupakan sesuatu yang sudah menjadi keperluan ketika ini bagi memastikan masyarakat tidak ketinggalan dan celik IT tanpa mengira usia.
“AI bukan sahaja penting sebagai alat teknologi tetapi sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial