AM

Rakyat Malaysia Diingat Tidak Terpengaruh Pihak Cuba Perlekeh Usaha Murni PMX - Syed Ahmad

31/01/2025 03:16 PM

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Rakyat Malaysia diingatkan untuk tidak terpengaruh dengan segelintir pihak yang menentang komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha membangunkan semula Gaza menerusi projek bandar wakaf selepas Ramadan ini.

Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman berkata usaha Malaysia dalam memperjuangkan isu kemanusiaan di peringkat global itu akan menonjolkan kedudukan negara dalam kalangan masyarakat antarabangsa, terutama apabila projek berkenaan bukan sahaja membantu membina semula Gaza tetapi turut mempromosikan model wakaf yang unik dan inovatif. 

“Saya ingin mengingatkan agar kita tidak terpengaruh dengan segelintir pihak yang mungkin cemburu dengan pengiktirafan yang diterima oleh PMX hingga memperlekehkan usaha murni ini.

“Sebagai rakyat yang bijaksana, kita harus mengenepikan polemik dan menyokong usaha yang membawa manfaat kepada umat sejagat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Projek Bandar Wakaf Malaysia di Gaza adalah bukti nyata keprihatinan dan kepimpinan Malaysia di mata dunia. 

“Lebih membanggakan, dana bantuan ini datang daripada independent fund dan sumbangan sektor korporat yang menunjukkan kepercayaan tinggi pelbagai pihak terhadap kemampuan dan keikhlasan negara kita.

“Dengan pembinaan Masjid Berkembar Shah Alam, Apartmen Wakaf Selangor dan Sekolah Malaysia di Gaza, ia tidak hanya memberikan keperluan asas kepada rakyat Palestin tetapi juga harapan baharu untuk masa depan mereka,” katanya yang turut menyeru semua pihak bersama-sama menyokong projek berkenaan.

Pada 29 Jan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Projek Bandar Wakaf Malaysia di Gaza yang bakal dilancarkan selepas Ramadan ini menjadi model pertama pembangunan wakaf Malaysia di Palestin.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan