AM

Kanak-kanak Tujuh Tahun Ditemukan Lemas Di Kolam Renang

11/02/2025 09:28 AM

PUTRAJAYA, 11 Feb (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditemukan lemas di sebuah kolam renang di Tasik Residensi Jalan Putra Prima Utama, Puchong dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman berkata kanak-kanak itu tanpa pengetahuan keluarganya, dipercayai telah masuk ke kolam renang dewasa dan lemas kira-kira 11.30 pagi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa bersama ahli keluarga yang berasal dari Kampung Beserah di Kuantan, Pahang datang bercuti di rumah keluarganya di residensi itu.

“Mangsa bersama ahli keluarga yang lain telah mandi di kolam renang Tasik Residensi Jalan Putra Prima Utama.

“Tanpa pengetahuan ahli keluarga, mangsa telah masuk ke kolam orang dewasa dan telah lemas di dalam kolam berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang  mengesahkan menerima laporan polis pada 2.40 petang Ahad mengenai insiden itu Hospital Sultan Idris Shah Serdang.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia sebelum tiba di hospital. Bedah siasat telah dijalankan semalam dan hospital mengesahkan kematian mangsa adalah disebabkan lemas,” katanya.

Norhizam berkata kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga sepuluh tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Satu kertas siasatan kematian mengejut turut dibuka berkenaan insiden itu.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan