MELAKA, 19 Feb (Bernama) -- Usaha memelihara aset warisan negara tidak seharusnya dijadikan penghalang bagi melaksanakan pembangunan bandar yang selesa, dinamik, ceria dan berdaya saing.
Presiden Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) Datin Noraida Saludin berkata sebaliknya usaha itu boleh menjadi pencetus kepada pembangunan semula, pembaharuan atau pemodenan sesuatu bandar sekali gus berupaya meningkatkan ekonomi sesuatu kawasan tanpa merosak atau mengganggu aset berkenaan.
"Untuk mencapai usaha berkenaan, semua pihak khususnya golongan profesional yang terlibat dalam perancangan dan pembangunan bandar termasuk pihak berkuasa tempatan perlu menggembleng tenaga dan bekerjasama, bukan buat kerja asing-asing," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam 'National Heritage Conference 2025' yang dirasmikan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin di sini malam tadi.
Noraida berkata selain itu, kawalan pakar berkaitan berteraskan elemen perundangan, garis panduan, rancangan pemajuan, pelan induk yang mesra pengguna dan praktikal berupaya membantu usaha memelihara aset warisan sekali gus mempertahankan identiti negara.
Beliau berkata usaha memelihara aset warisan juga merupakan tanggungjawab semua rakyat dan mereka perlu dididik dan diberi pendedahan sewajarnya berkaitan kepentingan langkah terbabit agar ia tidak hilang ditelan zaman.
"Selain elemen Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang menjadi kebanggaan kita sebagai rakyat Malaysia, nilai dan aset warisan tempatan juga perlu diberikan perhatian yang khusus dan serius.
"Sebagai contoh, elemen warisan lain di peringkat tempatan seperti bangunan, makam dan tempat ibadat perlu dipelihara, direkodkan serta dibuat inventori khususnya melibatkan fakta tepat untuk rujukan pada masa akan datang," katanya.
Terdahulu, beliau berkata 'National Heritage Conference 2025' yang julung kali dianjurkan MIP bertujuan memartabatkan pemeliharaan serta pengekalan aset warisan negara.
Pemilihan Melaka sebagai lokasi persidangan dua hari itu, katanya sejajar dengan pengiktirafan negeri itu sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 17 tahun lepas selain sempena sambutan memperingati tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu esok.
Persidangan bermula semalam disertai kira-kira 250 individu dari dalam dan luar negara yang terlibat dalam industri perancangan bandar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial